Halaman

08 November 2012

Terengganu terima peruntukan tertinggi untuk latih peladang

Oleh; Esah Abdullah

Terengganu merupakan antara negeri yang menerima peruntukan tertinggi di bawah program latihan pembangunan untuk ahli-ahli peladang di negara ini.

Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Encik Mohd Naser Harun berkata, negeri Terengganu akan menerima peruntukan sebanyak RM100,000 bagi ahli seramai 32, 670 orang.

“Mengikut rekod kita, sebelum ini Terengganu hanya menerima sekitar RM10 hingga RM15 ribu sahaja dan ini merupakan bajet tinggi berbanding tahun sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir pada Majlis Sambutan Hari Inovasi LPP Negeri Terengganu di Dewan Wawasan, Wisma Peladang, Kuala Terengganu.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu, Encik Shamsuddin Mat Rani dan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu, Encik Sawalluddin Ahmad.

Katanya, LPP memperuntukan RM2 juta bagi menyediakan latihan pembangunan kepada kira-kira 800,000 ahli-ahli pertubuhan peladang seluruh negara tahun depan.

Menurutnya, peruntukan pembiayaan latihan berkenaan turut melibatkan Sabah dan Sarawak serta dari Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

 “Kita menyediakan peruntukan yang agak lumayan tahun depan untuk latihan ahli-ahli peladang supaya mereka dapat melipatgandakan usaha meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya.

 Mengulas lanjut, Encik Mohd Naser berkata, usaha tersebut diselaraskan di seluruh negara bagi menyokong hasrat kerajaan untuk mengeluarkan pemakanan yang cukup dan selamat.