Halaman

23 November 2012

Terengganu sasar lebih 30,000 pelajar khatam al-Quran tahun depan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan negeri mensasarkan lebih 30,000 pelajar sekolah rendah dan tabika di seluruh negeri Terengganu akan khatam al-Quran pada tahun depan.

Pada tahun ini, kira-kira 31,600 pelajar sekolah rendah dan tabika telah khatam al-Quran. Dua majlis khatam al-Quran secara berasingan diadakan pada tahun ini melibatkan pelajar Kelas Fardhu Ain (Kafa) dan tabika di bawah pengendalian Yayasan Islam Terengganu (YIT), Jabatan Pelajaran Negeri, Kemas dan Jabatan Perpaduan Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya merancang sekurang-kurangnya 32,000 pelajar sekolah rendah dan tabika akan khatam al-Quran pada tahun depan.

“Kita mahu angka pelajar sekolah rendah dan tabika di negeri ini yang khatam al-Quran pada setiap tahun bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan hasrat kerajaan agar setiap kanak-kanak yang bakal melangkah ke sekolah rendah mampu menguasai al-Quran manakala murid sekolah rendah fasih membaca al-Quran sebelum mereka melangkah ke alam sekolah menengah.

Seramai 22,000 pelajar Kafa menyertai majlis khatam al-Quran yang diadakan secara serentak di tujuh lokasi, termasuk Stadium Tertutup Gong Badak, baru-baru ini.

Manakala Majlis Khatam al-Quran bagi Program Pintar al-Quran yang melibatkan kanak-kanak kelas tabika pula melibatkan penyertaan serama 9,639 kanak-kanak tabika dari seluruh negeri.