Halaman

20 November 2012

SMK Padang Midin terima padang sintetik taraf dunia

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu dijangka dapat terus melahirkan atlet hoki yang mampu melangkah sehingga ke peringkat antarabangsa apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Kuala Terengganu yang berperanan sebagai pusat kecemerlangan sukan itu di negeri ini, menerima padang sintetik bertaraf dunia, semalam (19 November).

Prasarana sukan di sekolah yang melibatkan kos RM3.3 juta itu merupakan antara 11 padang hoki yang sedang disiapkan di seluruh negara sebagaimana agenda kementerian menerusi pelan induk Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

Pengarah Kanan Cawangan Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Jabatan Kerja Raya (JKR), Maman K. T George, berkata kemudahan itu bertujuan memberi kemudahan kepada murid mengembangkan bakat mereka dalam bidang sukan dalam suasana yang lebih kondusif dan selesa.

“Pembinaan padang hoki sintetik bernilai RM3.3 juta di sekolah ini bermula awal Mac lalu dan dijangka siap sepenuhnya bulan ini.

 “Malah saya difahamkan padang hoki ini juga sudah mendapat pengiktirafan badan induk Hoki Dunia kerana memenuhi spesifikasi yang ditetapkan pihak itu, selain mendapat sijil pengiktirafan sementara selepas tiga wakil badan induk berkenaan dari negara Hong Kong, China serta Korea menjalankan pemeriksaan pada 15 November lalu ,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Padang Hoki Sintetik kepada Pengetua SMK Padang Midin, Zah Mohamad. Hadir sama, Jurutera Daerah JKR Kuala Terengganu, Encik Md Zaid Ali, Pengarah Majlis Sukan Negeri, Haji Zainal Abidin Hussin, Penyelaras Projek Sukan Hoki, Encik Nik Rozemi Nik Mohamad dan wakil persatuan hoki negeri .

Sementara itu, Nik Rozemi berkata, kemudahan padang hoki itu bakal dimanfaatkan dengan sebaiknya dalam usaha memartabatkan lagi sukan itu serta melahirkan pemain hoki yang berwibawa di peringkat negeri serta negara amnya.

Menurutnya, pelbagai perancangan akan dilakukan bermula awal tahun depan termasuklah menganjurkan kejohanan hoki peringkat antarabangsa dengan melibatkan pasukan hoki sekolah dari beberapa negara Asia.

“Dalam perkembangan terbaru, pasukan hoki wanita sedang menjalani latihan pusat bagi menghadapi Kejohanan Hoki Wanita Bawah 16 Tahun peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur pada 12 hingga 20 Disember depan.

 “Sehingga kini, seramai 90 pelajar giat menjalani latihan di bawah projek hoki di SMK Padang Midin dan sebahagian daripada mereka ini merupakan atlet pelapis bagi skuad Sukan Malaysia (Sukma) negeri,” katanya.

Projek hoki SMK Padang Midin ditubuhkan sejak 986 dan mendapat pengiktirafan sebagai Pusat Hoki Tunas Cemerlang pada 1989 daripada Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) serta mencapai pelbagai kejayaan antaranya termasuklah menjadi juara Sukma Pahang Julai lalu bagi pasukan lelaki dan wanita.