Halaman

25 November 2012

RISDA komited lahirkan usahawan di kalangan pekebun kecil

Oleh: Noraini Jusoh

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) komited dalam melahirkan lebih ramai usahawan di kalangan pekebun kecil.

Pengerusi RISDA, Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik berkata, beberapa pendekatan telah dikenalpasti oleh pihaknya dalam usaha menambah pendapatan isi rumah pekebun kecil terutamanya melibatkan program keusahawanan.

"Bagi merealisasikan hasrat melahirkan 10,000 pekebun kecil yang bergelar usahawan menjelang 2015, RISDA mempunyai strategi tersendiri yang cukup tersusun.

"Antara usahanya ialah dengan menyediakan lebih banyak kursus, latihan dan bimbingan bagi membantu pekebun kecil yang berminat dalam bidang keusahawanan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Usahawan RISDA dan Pelancaran Kelab Usahawan RISDA (RISEC) 2012 Peringkat Kebangsaan, di Pusat Dagangan Terengganu, semalam.

Katanya, pelancaran RISEC juga merupakan salah satu usaha pihaknya dalam membantu meningkatkan produktiviti usahawan di bawah naungan RISDA terutamanya di kalangan pekebun kecil.

"Dengan adanya kelab tersebut, secara tidak langsung dapat membina rangkaian kerjasama perniagaan antara semua usahawan RISDA di seluruh negeri.

"Selain itu, satu pelan pelaksanaan pembangunan usahawan pekebun kecil yang lebih tersusun dan lebih bersistematik dapat diwujudkan,” ujarnya.