Halaman

18 November 2012

Program Tahfiz al-Quran di Masjid Kristal

Oleh: Suriati Ali 

Kerajaan negeri dengan kerjasama unit pentadbiran Masjid Kristal Management Sdn Bhd menganjurkan Program Tahfiz al-Quran Cuti Sekolah di masjid itu, bermula semalam hingga 20 Disember depan.

 Program siri ke sembilan itu melibatkan 150 pelajar berbanding 80 pelajar ketika pertama kali dianjurkan pada awal 2008 lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata program itu adalah pendekatan positif bagi menyahut seruan kerajaan negeri menggabungkan pendidikan kini berasaskan al-Quran.

Katanya, al-Quran adalah rujukan utama umat Islam, justeru program itu permulaan yang baik untuk mempelajari bahasa al-Quran termasuk teknik dan cara mentafsirkannya.

“Program seumpama ini adalah sokongan terhadap kerajaan negeri bagi melahirkan generasi Ulul Albab yang bukan saja berketrampilan dalam pelbagai bidang tetapi pada masa sama mempunyai asas agama yang kuat berlandaskan al-Quran .

“Kita seboleh-bolehnya mahu anak-anak seawal usia 5 hingga 6 tahun mampu menghafaz al-Quran dengan baik,” katanya pada satu majlis baru-baru ini.