Halaman

14 November 2012

PPSPPA anjur Larian Kitar Semula

Oleh: Suriati Ali

 Lebih 5,000 peserta dijangka menyertai Larian Jom! Kitar Semula dan Habitat 2012 bertempat di Dataran Teratai, Batu Burok, Kuala Terengganu pada 17 November ini.

 Larian anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negeri (PPSPPA) itu melibatkan murid sekolah dan warga emas dengan 10 kategori dipertandingkan dan jarak larian antara tiga hingga 10 kilometer.

 Pengarah PPSPPA, Puan Fatimah Ahmad berkata, kejohanan yang diadakan serentak di seluruh negara merupakan acara julung kali diadakan di negeri ini.


 Katanya, pendekatan itu mampu membudayakan amalan kitar semula di kalangan masyarakat setempat seterusnya mengamalkan amalan gaya hidup sihat rakyat di Terengganu.

 Menurutnya, seramai 5,000 peserta dijangka akan mengambil bahagian melibatkan murid sekolah dan warga emas dengan 10 kategori dipertandingkan dengan jarak larian antara tiga hingga 10 kilometer.

 “Alhamdulilah penyertaan yang diterima amat mengalakkan dan kami yakin sasaran awal 5,000 penyertaan mampu direalisasikan menjelang kejohanan itu nanti,” katanya.

 Puan Fatimah, berkata elain Terengganu, lokasi lain bagi kejohanan larian itu turut diadakan di Johor, Kelantan, Pahang, Perlis, Wilayah Persekutuan, Melaka dan Negeri Sembilan.

 "Setiap peserta akan dibekalkan dengan sehelai baju-T, minuman dan sijil penyertaan, manakala hadiah wang tunai akan disediakan kepada pemenang tempat pertama hingga ketiga bagi setiap kategori,” katanya.

 “Pihak penganjur turut menyediakan hadiah cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah motosikal sepanjang kejohanan itu berlangsung,” katanya.

 Justeru, orang ramai yang ingin mendapakan maklumat lanjut berhubung larian ini boleh menghubungi talian 09-6310034 bermula jam 8 pagi hingga 5 petang atau layari laman web www.ppsppa.gov.my.

 Untuk rekod Terengganu merupakan negeri paling tinggi yang berjaya mencatatkan rekod jumlah kutipan barangan kitar semula dengan 240,041 kilogram bersamaan RM69,460 hasil kutipan dalam usaha mencapai sasaran 22 peratus kitar semula sisa pepejal menjelang 2020.