Halaman

09 November 2012

Perhimpunan terakhir yang mencabar

Oleh; Esah Abdullah

Perhimpunan Agung UMNO tahun ini sangat mencabar dan merupakan yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kata Naib Presiden UMNO Malaysia, Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Apdal.

“Persidangan ini penting bagi ahli-ahli bukan setakat pertemuan parti tapi mempunyai agenda keinsafan dan pastikan kita semua bersatu dan bekerja keras untuk terus meneraju negara ini,” katanya.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu dalam rangka lawatan rasmi sehari ke daerah Dungun, Terengganu dan memberi respon pertanyaan pemberita mengenai perhimpunan terbesar parti pada hujung bulan ini.

Beliau mengharapkan ahli parti sentiasa positif dalam tindakan serta menjurus kepada kekuatan dan kesepaduan parti supaya selesai perhimpunan ini dapat diterjemahkan kedalam satu kemenangan demi untuk kesejahteraan semua.

Katanya keputusan PRU ke-12 perlu menjadi iktibar kepada ahli parti kerana setiap kemenangan itu bukan hak individu sebaliknya kemenangan satu pasukan yang besar iaitu Barisan Nasional (BN) yang menjadi peneraju negara.

 “Saya harap semua yang layak mengundi jangan lupa untuk mendaftar dan buatlah pilihan yang tepat demi masa depan generasi akan datang,” katanya.