Halaman

04 November 2012

Pemimpin Umno bersatu

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Pemimpin Umno Terengganu tekad untuk melupakan pertelingkahan sesama sendiri dalam tempoh beberapa tahun lalu dan bersatu hati, demi bagi menguatkan jentera pilihan raya Umno dan Barisan Nasional (BN), menghadapi pihak lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Dato’ Tengku PuteraTengku Awang, berkata semua ketua Umno Bahagian dan ketua-ketua sayap parti itu sepakat untuk bekerja sebagai satu pasukan bagi menghadapi tentangan pihak pembangkang.

Beliau menegaskan Umno tidak menghadapi masalah di segi perpaduan kerana pemimpinnya di semua peringkat telah menyatakan komitmen masing-masing bagi membantu calon-calon BN di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), pada PRU 13 yang bakal diadakan bila-bila masa.

Beliau mengakui di peringkat awal perubahan pucuk pimpinan Umno Terengganu yang diketuai Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, timbul masalah kerana terdapat rasa tidak puas hati di kalangan beberapa pemimpin bahagian.

“Bagaimanapun, dalam tempoh beberapa tahun ini kita telah mengambil pelbagai inisiatif untuk merapatkan jurang antara pemimpin tempatan dan kini boleh dikatakan tiada lagi perselisihan semasa sendiri,” katanya dalam satu temubual secara eksklusif dengan Teganukita, baru-baru ini.

Dato’ Tengku Putera berkata, Menteri Besar mengarahkan semua pemimpin Umno supaya bersatu hati dan mengeratkan perpaduan demi bagi memastikan Umno dan BN benar-benar bersedia bagi menghadapi pilihan raya kali ini yang diramalkan ditentang habis-habisan daripada pembangkang.

“Insya Allah kita semua (ketua-ketua Umno Bahagian) ada hasrat dan berazam untuk melihat BN mencapai kemenangan besar di seluruh negara pada pilihan raya kali ini,” tegas beliau.

Malah, katanya, pemimpin Umno negeri bukan saja berazam untuk mempertahankan kedudukan BN sebagai parti memerintah negara dan negeri Terengganu, tetapi turut berusaha untuk meningkatkan majoriti BN di sebahagian besar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu.

“Pada masa yang sama mereka juga akan mengerah jentera pilihan raya di kawasan masing-masing supaya berusaha dengan bersungguh-sungguh melalui gerak kerja tersusun bagi merampas semula sebanyak mungkin kerusi DUN yang dikuasai parti pembangkang sebelum ini,” katanya.

Menurut beliau, pemimpin Umno Terengganu menyedari jika mereka melakukan kesilapan dalam percaturan politik, pihak pembangkang akan mengambil kesempatan untuk menawan negeri ini.

“Jika ini berlaku, sudah tentu rakyat akan menjadi mangsa kerana sejarah telah membuktikan negeri Terengganu banyak ketinggalan sewaktu negeri ini diperintah oleh Pas pada tahun 1999.

“Sebagai pemimpin yang mengutamakan rakyat, semua ketua-ketua Umno Bahagian dan ketua-ketua sayap Umno akan memberi komitmen tahap maksimum untuk mempertahakan negeri ini daripada dikuasai oleh pembangkang ,” tambahnya.