Halaman

30 November 2012

Pembukaan LPT Fasa II jana pelancongan Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa II yang bakal dibuka sepenuhnya menjelang tahun 2015 bakal merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri yakin lebuh raya berkenaan akan menjadi akses utama pelancong yang akan ke Terengganu melalui sebelah selatan.

“Pada masa yang sama kerajaan negeri juga akan menambah keselesaan kepada pelancong yang masuk melalui jalan-jalan lain dengan projek pembesaran jalan bagi tujuan menarik pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Serdang, selepas majlis pra-pelancaran TMT 2013 yang diadakan di Rumah Terengganu di tapak MAHA 2012 di mana Sekretariat TMT 2013 mengadakan pelbagai promosi bagi menarik pelancong ke Terengganu.

Pada masa ini sebahagian daripada projek LPT Fasa II sudah dibuka dan memberi banyak keselesaan kepada para pengguna jalan raya, khususnya mereka yang datang dari Kuantan dan Kuala Lumpur.

Pengguna jalan raya dibenarkan melalui Persimpangan Bukit Besi – Ajil sejauh 42.4 kilometer dan Bukit Payong - Gemuroh (16.3 kilometer). Keseluruhan projek LPT Fasa II yang kini membabitkan kos RM2.36 billion dijangka siap pada tahun 2014.

Menteri Besar berkata, beberapa kawasan pelancongan yang terletak berhampiran laluan LPT II termasuk Tasik Kenyir dan Air Terjun Chemerong di Dungun, bakal dikunjungi lebih ramai pelancong bila ia dibuka kelak.

“Apabila LPT Fasa II dibuka sepenuhnya pelancong dari Kuala Lumpur boleh datang ke Terengganu dalam masa tiga hingga empat jam saja,” ujar beliau.