Halaman

18 November 2012

Pegawai Daerah Besut minta jabatan kerajaan bantu JKKK


A Rahim Jusoh mempengerusikan mesyuarat bersama pengerusi JKKK Daerah Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Jabatan dan agensi kerajaan daerah Besut diminta membantu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselaman Kampung (JKKK) yang dipilih menyertai Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung anjuran Kerajaan Negeri.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh berkata, sokongan dan kerjasama pihak jabatan dan agensi kerajaan daerah itu perlu bagi membantu permintaan JKKK yang memerlukan khidmat jabatan terbabit.

Katanya, antara jabatan yang terbabit dalam pertandingan itu termasuklah Majlis Daerah Besut (MDB), Jabatan Kerja Raya (JKR),Jabatan Pertanian, Projek Pembangunan terengganu Utara (KETARA), Jabatan Perhutanan dan Veterinar

 “Tanpa kerjasama jabatan sudah tentu sukar bagi JKKK untuk menyertai pertandingan itu kerana organisasi itu tidak mempunyai kewangan bagi membiayai kos mengindahkan kampung masing-masing,” katanya

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Persediaan Penyertaan Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung Daerah Besut di Bilik Gerakan Pejabat daerah Besut di Kampung Raja, hari ini.

Hadir sama enam pengerusi JKKK yang terpilih mewakili daerah Besut ke pertandingan berkenaan iaitu JKKK Rumah Awam Seberang Jertih, Lay Out Tok Saboh, Bukit Payong Luar, Gong Gucil, Amer Hilir dan Kayu Kelat.

Beliau berkata, semua JKKK yang terpilih juga diminta menyiapkan profil kampung masing-masing mulai sekarang kerana penghakiman akan dilakukan pada Januari 2013. A Rahim berharap, daerah Besut dapat melahirkan kampung contoh yang mampu bersaing dengan tempat lain di Terengganu.