Halaman

11 November 2012

Medan uji pelumba wanita

Oleh: Aida Abd Rahman

Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) akan menguji 10 pelumba berbasikal wanitanya dalam berbaki dua kejohanan yang diatur persatuan itu hujung tahun ini.

Ketua jurulatih PLBT, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata ia sebagai pendedahan awal untuk memilih pelumba mewakili Sukan Malaysia (Sukma) 2014 di Perlis.

Semua pelumba wanita itu yang diletakkan di bawah projek Sukma, akan diuji pada Kejohanan Berbasikal Trek Sportexcel di Kuala Lumpur bulan ini dan Kejohanan Grand Prix (GP) Series Sirkit ke-5 di Melaka pada hujung Disember.

“Setakat ini kami ada lapan muka baharu pelumba wanita yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Lima daripada mereka berada di Kemaman dan dilatih Ahmad Musa, bekas pelumba berbasikal Terengganu manakala tiga lagi di Kuala Terengganu yang dilatih saya sendiri,” katanya.

Beliau berkata, dua lagi pelumba sedia ada yang akan bersama lapan pelapis itu ialah Nurul Shuhada Zainal dan Umi Hamimah Ahmad, masing-masing pemenang pingat emas acara lebuh raya dan trek.