Halaman

17 November 2012

MB sertai kejohanan golf

Oleh: Noraini Jusoh

Kejohanan Golf Piala Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus 2012 telah berlangsung di Kuala Terengganu Golf Resort, Tok Jembal, pagi ini.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said turut menyertai kejohanan golf yang julung kali dianjurkan oleh Umno Bahagian Kuala Nerus sekaligus menyempurnakan majlis perasmian pertandingan tersebut.

Kejohanan golf yang bertujuan untuk merapatkan silaturahim antara pucuk pimpinan tertinggi Umno Terengganu dengan kepimpinan Umno di peringkat bahagian yang lain nyata berhasil kerana mendapat sambutan menggalakkan khususnya dari setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuala Nerus.

Setiap DUN dalam daerah Kuala Nerus yang terdiri daripada DUN Bukit Tunggal, Tepoh, Teluk Pasu dan Seberang Takir menghantar antara 7 hingga 8 orang wakil.

Turut menyertai pertandingan tersebut ialah Setiausaha Politik Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Hoki Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif, Top IT Sdn Bhd, Encik Mohd Isa Nik serta pegawai kanan kerajaan yang lain.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Dato' Mohd Nasir Ibrahim Fikri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Dato' Haji Ahmad Razif Abd. Rahman turut hadir di kejohanan yang bermula seawal jam 7.30 pagi ini.

Menteri Besar sempat bergambar sebagai kenangan dengan semua pemain sebelum pertandingan dimulakan dalam keadaan cuaca yang begitu baik.