Halaman

08 November 2012

M1angling ungguli Kenyir Cup 2012

Oleh FAUZI MOHD

Kaki pancing daripada Kelab M1angling berjaya mengungguli Kejohanan Memancing Kencir Cup 2012 apabila mendominasi kesemua kategori yang dipertandingkan sejak Sabtu lalu.



Ahli Kelab M1angling yang muncul juara keseluruhan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM48,000 daripada RM108,000 jumlah keseluruhan yang dipertandingkan menerusi kategori tempatan.


Cheang Sai Hong, peserta dari kelab itu dinobatkan juara bagi kategori individu apabila berjaya menaikan ikan siakap seberat 6 kilogram pada hari kedua kejohanan seterusnya meraih wang tunai RM10,000, manakala rakan sepasukannya, Leu Wee Ming ditempat kedua (RM5,000) dan ketiga Mohd Suharai Tengah (RM3,000).


Bagi kategori tangkapan terbanyak juga menjadi milik kelab yang sama setelah Koh Jee Chek mencatatkan jumlah keseluruhan sepanjang 80 sentimeter panjang dan berjaya meraih wang tunai RM3,000, kedua Cheah Hong Fong (RM2,000) serta ketiga Yap Yong Hong (RM1,000).

Manakala bagi kategori ‘Berkley Lure’ dan kumpulan terbaik serta pengendali bot turut menjadi milik M1angling dan meraih hadiah keseluruhan berjumlah RM17,000.

Sementara itu bagi penyertaan peserta luar negera, Zhao Hu muncul juara keseluruhan setelah berjaya menjuarai kategori individu dan ‘Berkley Lure’ dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM13,000.

Zhao Hu menyifatkan kemenangannya itu sebagai ‘bertuah’ kerana ia adalah penyertaan kali pertamanya pada kejohanan yang diadakan di Tasik Kenyir itu.

“Saya pun tidak sangka dapat memenangi dua kategori daripada lima yang dipertandingkan, ini mungkin rezeki saya dan saya akan gunakan wang ini untuk membeli peralatan memancing yang lebih bermutu apabila pulang nanti.

“Pada kejohanan ini saya membawa peralatan memancing sedia ada dari China dan sepanjang kejohanan saya hanya fokus untuk menaikkan sebarapa banyak ikan termampu selain bersabar dengan keadaan cuaca yang tidak menentu termasuk hujan lebat,” katanya ketika di pada Majlis Penyampaian Hadiah di Hotel Primula malam tadi.



 Menurutnya, dia pastikan akan kembali lagi untuk turut sama menyertai kejohanan ini pada tahun depan dan membawa rakan-rakannya yang lain.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengurus Unit Pembangunan Tasik Kenyir, Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman.

Untuk rekod, Kencir Cup yang memasuki edisi ketiga sejak ia diperkenalkan pada tahun 2009 berjaya menarik 187 penyertaan di mana 147 daripadanya merupakan peserta daripada negara China menerusi lima kategori yang dipertandingkan bagi peserta tempatan dan luar negara.

Kejohanan yang berlangsung selama lima hari dan berakhir kelmarin itu merupakan anjuran Kerajaan Negeri di bawah Jabatan Pelancongan Negeri dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bersempena Tahun Melawat Terengganu 2013.