Halaman

20 November 2012

Koperasi media medium jana ekonomi

Oleh: Aida Abd Rahman

Semua pengamal media di negeri ini disaran menyertai Koperasi Media Terenggganu Berhad bagi melibatkan diri secara langsung dalam perniagaan yang mampu menjana pendapatan serta ekonomi menerusi rangkaian strategik dalam pelbagai sektor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata menerusi keanggotaan itu nanti, kumpulan media dapat menyalurkan idea bernas dan segar yang boleh diterjemahkankan bagi tujuan menambah pendapatan di kalangan ahli khususnya dalam bentuk dividen menerusi perniagaan dan pelaburan tertentu.

 “Koperasi memainkan peranan cukup besar dan penting sekiranya ia dapat digerakkan secara total dan ditadbirurus dengan bijak menerusi rangkaian kerja yang berkesan dan sistematik.

“Saya yakin dan percaya Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) yang sudah lama mengimpikan koperasi ini dapat diwujudkan dan akhirnya menjadi kenyatan pada hari ini dapat mengembangkan koperasi ini setanding koperasi lain yang maju di negeri ini,” katanya ketika berucap di Kejohanan Boling Tertutup Lima Penjuru Piala YB Dato’ Mohamed Awang Tera, di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Rosol Wahid dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Terengganu, Encik Zahari Omar.

 Dato’ Mohamed turut menyampaikan surat kebenaran menubuhkan Koperasi Media Terengganu Berhad secara rasmi kepada Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.

Sebelum itu, beliau turut menggesa Koperasi Media Terengganu Berhad supaya merebut peluang terlibat dalam bidang yang mampu memberi pulangan yang baik kepada ekonomi dan pendapatan persatuan itu seperti di sektor peruncitan dan pelancongan, sejajar dengan perkembangan semasa.

Katanya, sebagai koperasi yang baru, pihaknya akan sentiasa menyokong usaha dan aktiviti yang akan dilancarkan bagi memastikan matlamat penubuhannya dapat direalisasikan, berupaya berkembang dan membangun dengan berkesan, selain dapat memberi manfaat kepada seluruh anggotanya.