Halaman

17 November 2012

KKGLMSM medan penuhi pandangan, suara guru

Oleh: Aida Abd Rahman


Kerajaan sentiasa mendengar suara dan pandangan guru menerusi Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) bagi memastikan golongan pendidik dapat melaksanakan tugas mereka dengan penuh dedikasi serta mencapai tahap profesionalisme terbaik untuk menghasilkan anak bangsa yang cemerlang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata menerusi KKGLMSM pelbagai manfaat dinikmati golongan pendidik termasuk gaji permulaan yang sama antara guru sekolah menengah dan rendah yang mempunyai kelulusan yang sama, Time Base Promotion, Perkhidmatan 2 Skim, ganjaran kepada guru cemerlang dan kenaikan gred sehingga DG52 dan DG54.

“Justeru itu, dengan pelbagai manfaat dan kemudahan yang disediakan kerajaan, guru haruslah sentiasa memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak kita.

“Golongan pendidik perlu berfikir di luar kotak pemikiran yang biasa, sebaliknya harus lebih inovatif dan kreatif kerana gurulah yang menentukan kecemerlangan anak bangsa,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Jubli Emas KKGLMSM di Hotel Permai, Kuala Terengganu, malam tadi.



Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, Presiden KKGLMSM, Datuk Jemale Paiman dan Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin.

Menteri Besar berkata, kecemerlangan anak bangsa menjadi kayu ukur kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan negara serta memastikan segala perancangan kerajaan untuk mencapai status negara maju menjelang 2020 mengikut acuan sendiri tercapai satu masa nanti.

“Terengganu sendiri pada satu ketika dulu sering ketinggalan dalam aspek pendidikan berbanding negeri jiran, Kelantan yang jauh kehadapan. Bagaimanapun, dengan pelaburan yang tinggi terhadap sektor itu jika dibandingkan dengan negeri lain, membolehkan Terengganu cemerlang dalam bidang pelajaran sejak beberapa tahun lalu.

“Kerajaan Pusat memperuntukkan bajet tahunan untuk pelajaran berjumlah RM38 bilion, satu peruntukan yang cukup besar dan diberi keutamaan berbanding sektor lain. Manakala Terengganu membelanjakan RM340 juta untuk pendidikan dan antara negeri paling tinggi memperuntukkan bajet bagi sektor itu,” katanya.

Katanya, daripada keseluruhan bajet tahunan itu, sebanyak RM113 juta disediakan bagi penajaan melanjut pelajaran di luar negara, manakala peruntukan RM17 juta setahun bagi menyediakan `one-off’ untuk anak negeri yang berjaya meneruskan pengajian di peringkat ijazah (RM1,000 seorang), diploma/matrikulasi (RM750 seorang) dan sijil RM500 seorang.