Halaman

08 November 2012

Kakitangan cemerlang PPAT dapat anugerah

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 15 orang kakitangan Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PPAT 2012, pada majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna PPAT, hari ini.



Sebagai menghargai prestasi cemerlang yang telah ditunjukkan, setiap seorang daripada mereka menerima wang tunai RM1000, sijil serta cenderamata khas dari PPAT.

Anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah yang turut hadir ke majlis meraikan penerima anugerah yang dinilai berdasarkan prestasi kerja sepanjang tahun 2011 yang lalu.

 Pengarah PPAT, Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, dalam ucapannya berharap semua penerima anugerah pada kali ini menjadikan hadiah dan insentif yang diterima sebagai dorongan untuk meningkatkan prestasi kerja pada masa akan datang.

 “Setiap penerima APC akan berpeluang dan diberi keutamaan dalam menghadiri kursus, seminar atau persidangan yang menyumbang kepada peningkatan prestasi kerja serta memajukan kerjaya mereka.

“Selain itu, mereka turut menerima keistimewaan lain seperti berpeluang dicalonkan sebagai penerima pingat, bintang dan darjah kebesaran samada di peringkat negeri mahupun persekutuan,” ujarnya.

 Beliau berharap, seramai 189 kakitangannya yang terdiri daripada 150 orang kakitangan tetap dan 39 yang berjawatan kontrak sentiasa merebut peluang untuk menjadi pekerja cemerlang kerana pelbagai keistimewaan bakal diterima oleh mereka.

Katanya, kakitangan PPAT sangat bertuah kerana dapat menjalankan tugas ditempat yang selesa dan pelanggan mereka juga terdiri daripada golongan terpelajar.

 “Kebanyakkan mereka yang datang ke perpustakaan adalah untuk mencari ilmu, justeru saya berharap anak buah saya sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik supaya imej PPAT sentiasa terpelihara,” katanya.