Halaman

29 November 2012

JKNT lancar Tabung Palestin

Oleh: Noraini Jusoh

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah melancarkan Tabung Palestin bagi membantu penduduk yang menjadi mangsa kekejaman Israel di Palestin.

 Pengarah JKNT, Haji Anwa Sulaiman berkata, pelancaran kutipan derma kemanusian tersebut melibatkan seluruh bahagian kesihatan di negeri Terengganu.

"Program ini dianjurkan JKNT dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan (KESUKES) JKNT, bertujuan membantu meringankan penderitaan yang dialami umat Islam di bumi Palestin melalui sumbangan kakitangan jabatan khususnya dan orang ramai amnya.

"Kita akan meletakkan tabung di setiap kaunter hospital dan klinik bagi memudahkan mereka yang ingin menyalurkan sumbangan berbuat demikian,” ujarnya ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Kutipan Derma Kemanusiaan Palestin 2012 yang berlangsung di JKNT, hari ini.

Menurut Dr. Hj. Anwa, terdapat enam buah hospital, 40 klinik kesihatan dan 133 klinik desa di seluruh negeri Terengganu dan semua akan terlibat dalam program ini.

"Kakitangan jabatan dan orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikan bermula hari ini sehingga 23 Disember ini.

"Semua sumbangan yang berjaya dikumpulkan sepanjang tempoh tersebut akan diserahkan kepada salah satu badan yang membuat kutipan di seluruh negara,” ujarnya.

Katanya, sebelum ini JKNT telah berjaya mengumpul sebanyak RM2120 melalui Tabung Rohingya.

Justeru,beliau mengharapkan jumlah kutipan Tabung Palestin pada kali ini akan melebihi jumlah yang telah berjaya dikumpulkan sebelum ini.