Halaman

09 November 2012

Enam tokoh dari Besut sertai Konvensyen Pembangunan Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Ramai yang menganggap daerah Besut masih ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan jika dibandingkan dengan daerah lain di negeri ini yang sudah kelihataan maju menyebabkan penduduk daerah Besut sering membangkitkan isu berkenaan dalam forum, seminar dan dialog dengan pemimpin kerajaan.

Untuk mengetahui apakah benar anggapan dan dakwaan berkenaan pihak Pejabat Daerah Besut (PDB) dengan kerjasama beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan UMNO Bahagian Besut mengambil inisiatif menganjurkan “Konvensyen Pembangunan Besut” bagi merungkai jawapan sebenar oleh tokoh jemputan.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh (Gambar) berkata, konvensyen sehari itu akan berlangsung pada 17 November 2012 di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, dekat Jertih.Ia bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 2 petang.

Katanya, bagi menjayakan konvesyen itu pihak penganjur mengundang enam tokoh anak kelahiran Besut dalam bidang politik, pendidikan, ekonomi dan media yang akan membentangkan kertas kerja dalam bidang masing-masing.

Antaranya termasuklah Bekas Menteri Kerajaan Pusat dan Bekas Ahli Exco Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor. Datuk Prof Dr Alias Daud (UNIZA),Prof Dr Najibah Md Zin (UIA), Datuk Dr Noraini Mokhtar, Datuk Dr Nawawi Ismaail dan Tokoh Media, Timbalan Pengarah Urusan Karangkraf,Nasir Hamzah.

Katanya, dua moderator pula dipilih untuk mengandalikan konvensyen berkenaan ialah Pengarah Baitulmal Negeri Terengganu,Wan Harujan Wan Sulaiman dan Mohd Hafiz Yusof.

Manakala ucaputama konvensyen akan dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih,Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi MARA dan Pegawai Daerah Besut,A Rahim Jusoh.

Kira-kira 1,000 jemputan terdiri daripada warga Besut dalam pelbagai latar belakang termasuk pemimpin NGO dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dijemput bagi menjayakan program berkenaan.