Halaman

18 November 2012

Butler sah jurulatih baru T-Team

Peter James Butler
Oleh: Noraini Jusoh

Teka-teki siapa yang akan mengendalikan pasukan T-Team bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan akhirnya terjawab apabila Peter James Butler, 46, sah menandatangani perjanjian kontrak sebagai jurulatih baru T-Team yang berlangsung di Wisma Darul Iman, pagi ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah berkata, pemilihan Butler yang pernah menjadi pengemudi pasukan Terengganu dilihat mampu membawa perubahan baru kepada skuad T-Team yang mula ditubuhkan pada tahun 2007.

“Sebagai jurulatih sekaligus merangkap pengurus pasukan, Butler yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang bolasepak dipercayai mampu menggalas tanggungjawab untuk melatih pemain T-Team serta membawa sinar baru kepada skuad bolasepak tersebut.

“Walaupun ketika ini prestasi pasukan T-Team dilihat kurang menyerlah, diharap Butler secara profesionalnya akan membuat pembaharuan yang akan melonjakkan kembali nama T-Team,” ujarnya kepada sidang media selepas selesai majlis perjanjian kontrak tersebut.

Dalam majlis yang sama, George Boateng, 37, yang pernah bermain bersama pasukan Liga Inggeris, Nottingham Forest turut menandatangani perjanjian dengan T-Team sebagai pemain import untuk musim depan.


Menurut Dato Mazlan, pemain kelahiran Ghana itu dipilih untuk beraksi bersama skuad T-Team kerana kehebatan yang ditunjukkan dalam permainan sebelum ini bersama pasukan yang pernah diwakilinya.

Katanya, beliau yakin dengan kepimpinan serta pemain baru yang akan beraksi untuk tahun 2013 akan meletakkan T-Team sebaris dengan pasukan bolasepak hebat yang lain.