Halaman

09 November 2012

Bandar raya Kuala Terengganu kini makin `gah’

 Oleh: Suriati Ali

 `Bandaraya Warisan Pesisir Air’, satu tema yang cukup tepat dan sinonim bagi penduduk di kawasan Bandar Raya Kuala Terengganu yang kini semakin `gah’ mempamerkan pelbagai keindahan dan keunikan.

 Keindahannya akan lebih terserlah selepas beberapa pembangunan yang dirancang oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Pantai Timur (ECERDC) melalui Projek Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC), siap sepenuhnya kelak.

. Antara projek terdekat yang dirancang termasuk, pembangunan Pulau Warisan, pembinaan semula Pasar Besar Kedai Payang, Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) setinggi 30 tingkat dan jambatan angkat yang menghubungkan Kampung Tanjung dan Seberang Takir, Kuala Terengganu.


Projek yang mula menampakkan hasil ialah pembangunan Pulau Warisan atau pulau buatan yang bakal menempatkan bahan kebudayaan, kesenian dan makanan tradisional Terengganu.

 Projek bernilai RM61 juta dengan keluasan enam hektar itu akan dibangun secara berperingkat-peringkat bagi memberi perubahan baru kepada landskap Terengganu .

 Tinjauan Teganukita mendapati ratusan penduduk dan pelancong tidak jemu bertandang ke Pulau Warisan, terutama pada waktu malam bagi menikmati keindahan yang disediakan MBKT.

Pokok-pokok lampu hiasan yang melingkari kawasan Pulau Warisan, menjadi antara tarikan utama mereka untuk merakam suasana atau bergambar sebelum dimuatkan ke dalam blog peribadi.

Datuk Bandar MBKT, Dato’ Adzlan Dagang, berkata Pulau Warisan belum dibangunkan sepenuhnya, sebaliknya pembangunannya berjalan mengikut perancangan bagi menjana ekonomi penduduk.

“Namun apa yang pasti, ia kini sudah menjadi lokasi untuk pelbagai acara bercorak karnival atau keraian. “Terletak di belakang Kampung Cina dengan jaluran premis perniagaan lama, pulau yang dipisahkan oleh terusan bagi memudahkan bot pelancong berlabuh, ternyata menarik ramai pengunjung,” katanya,

 Katanya, ada yang datang bersantai bersama keluarga sambil menjamu selera dengan bekalan yang dibawa atau menganjurkan aktiviti barbeku sempena sambutan hari lahir.

 “Ada yang sekadar ingin menikmati suasana malam dengan mata meliar melihat bot mudik ke hulu dan hilir, selain asyik menyaksikan kehebatan dan keindahan Pulau Duyung di seberang sana,” katanya.

 Dato’ Adzlan Dagang turut memberitahu dulu pelancong singgah di Terengganu untuk berehat dan makan sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Bharu Kelantan, begitu juga mereka dari Kelantan singgah di sini sebelum ke Kuantan atau Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, kini, pelancong datang ke Terengganu untuk pelbagai tujuan termasuk melancong dan mereka menginap beberapa hari di bandar ini atau kawasan sekitar, sambil membeli-belah.

 “Bandar ini menjadi sesak sewaktu cuti sekolah atau cuti panjang pada hujung minggu kerana dibanjiri pelancong,” katanya

.