Halaman

24 November 2012

300 jawatankuasa KRT Daerah Besut hadir taklimat Akta Rukun Tetangga


Seorang peserta mengemukakan soalan mengenai Akta RT

Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 300 ahli jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Daerah Besut menghadiri majlis taklimat Akta Rukun Tetangga 2012 yang berlangsung di Demong Beach Resort, Bukit Keluang, Besut, hari ini.

Majlis anjuran Pejabat Perpaduan Daerah Besut itu bertujuan memberi penerangan lebih jelas mengenai fungsi dan peranan yang dilakukan oleh jawatankuasa KRT termasuk pengurusan Skim Rondaan Sukarela (SRS).

Ketua Unit Rukun Tetangga,Jabatan Perpaduan Negeri Terengganu, Asrolnizam Mamat menyampaikan taklimat hampir tiga jam mengenai akta baru yang diluluskan oleh Perlimen baru-baru ini.

Pegawai Perpaduan Daerah Besut, Nor Almizan Mahmod berkata, ahli KRT perlu diberi penjelasan lebih jelas kerana akta itu yang akan dikuatkuasakan Januari 2013 memerlukan banyak perubahan.

Katanya,walaupun akta lama masih diguna pakai tetapi beberapa perubahan yang dipinda dan diberi penambahbaikkan perlu diketahui oleh setiap ahli jawatankuasa KRT.

Menurutnya, ketika ini daerah Besut mempunyai 43 KRT yang berperanan sebagai organisasi yang mampu memberi khidmat sukarela kepada komuniti setempat.

Nor Almizan berkata, proses penubuhan KRT di daerah itu dilakukan setiap masa berikutan sambutan menggalakkan daripada penduduk daerah itu.

Sementara itu, Asrolnizam berkata, ketika ini sesi taklimat itu sudah dilakukan di daerah Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Besut dan terakhir di Hulu Terengganu tidak lama lagi.