Halaman

18 October 2012

Tulisan jawi lambang kekuatan jati diri orang Melayu

Oleh; Esah Abdullah

Semua pihak perlu berganding bahu dalam memikul tanggung jawab mempertahankan tulisan jawi bagi mengangkat semula martabatnya.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) merangkap Timbalan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda berkata, pusat-pusat pengajian tinggi khususnya yang terlibat dengan pengajian Islam dan perguruan perlu memastikan supaya tulisan jawi di jadikan sebagai mata pelajaran wajib.

“Ianya bukan setakat menjadi tulisan warisan bangsa malah turut melambangkan kekuatan jati diri kita sebagai seorang Melayu,” katanya di majlis perasmian Karnival Semarak Jawi Kebangsaan 2012 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu hari ini.
Memupuk anak-anak muda fasih membaca jawi di samping mengangkat martabatnya.
Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Pengarah Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan, Haji Wan Mohd Zaki Wan Abdullah.

Majlis perasmian dilakukan oleh Ketua Pengarah Perpustakaan Awam Negara Dato’ Raslin Abu Bakar mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Dato’ Sri Kamaruddin Siaraf.

Turut hadir Pengarah Radio Jabatan Penyiaran Malaysia, Haji Mohamad Mat Yasin dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Hajah Nor Akmal Abdul Fatah.


Katanya, perisian Komputer yang memuatkan bacaan dan tulisan jawi seperti e-jawi perlu perbanyakkan dan disebarluaskan untuk menarik minat pengguna.

Menurutnya pengabaian tulisan jawi terutama dalam sistem pendidikan negara bererti membiarkan nilai-nilai ilmu yang bermanfaat kepada tradisi persuratan Melayu dan nilai-nilai keIslaman.

 “Oleh yang demikian survival dan nasib tulisan jawi harus dipertahankan dan diperjuangkan oleh kita semua,” katanya.

Dato’ Haji Wan Ahamad kemudiannya menyarankan pelaksanaan pengajaran tulisan jawi di sekolah-sekolah hendaklah benar-benar terancang supaya keberkesanannya terjamin.

Sukatan pelajaran di peringkat rendah dan menengah dikaji semula untuk memastikan pengajaran tulisan itu mempunyai masa yang cukup bagi memastikan setiap pelajar dapat menghayati, membaca dan menulis dengan baik.

 “Langkah yang diambil ini diharap dapat membantu mempertahankan kepentingan tulisan jawi pada masa hadapan dan mendedahkan golongan muda mengenai pentingnya tulisan ini bagi masyarakat Melayu,” katanya.