Halaman

18 October 2012

Terengganu tuan rumah sukan pegawai tadbir

Oleh: Noraini Jusoh

Program Peningkatan Kerjaya dan Sukan Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri 2012 sedang berlangsung sejak kelmarin dan bakal berakhir pada 22 Oktober ini.

Pengarah Yayasan Islam, selaku Setiausaha Pegawai Tadbir negeri, Tuan Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail berkata, program tahunan ini telah teruskan untuk kali yang ke-13 dan melibatkan penyertaan dari empat buah negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu selaku tuan rumah.

“Sepanjang program ini berlangsung pelbagai acara diadakan termasuk tujuh acara sukan, program bual bicara, majlis jamuan, seminar dan program lawatan yang melibatkan para Pegawai Tadbir dari empat buah negeri yang terlibat.

“Tujuh acara sukan yang dipertandingkan termasuk bola sepak, golf, badminton, bola tampar, bowling padang, ping pong dan karom,” ujar beliau ketika dihubungi Teganukita hari ini.

Program yang bertujuan untuk memantapkan kerjaya dan mengeratkan silaturahim sesama ahli ini telah dimulakan dengan mesyuarat pengurus pasukan bertempat di bilik gerakan negeri, Wisma Darul Iman, kelmarin.

“Hari ini berlangsung Majlis Perasmian dan Seminar Pemantapan Profesionalisme, Transformasi, Budaya Kerja dan Pemikiran Pegawai Tadbir bertempat di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam serta diikuti dengan perlawanan bola sepak dan pertandingan karom.

“Semua acara sukan yang lain akan bermula esok sehingga Ahad ini dan majlis penutup serta majlis penyampaian hadiah bakal berlangsung Ahad ini bertempat di Dewan Besar, Wisma Darul Iman,” katanya.