Halaman

10 October 2012

Terengganu bersedia hadapi banjir tahun ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Dato' Haji Mazlan Ngah
Kerajaan negeri sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir, terutama berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata pihaknya juga sudah mengenalpasti pusat pemindahan dan pangkalan hadapan yang sesuai dan selamat kepada mangsa banjir, selain menyediakan keperluan harian kepada mereka.

Menurutnya, jawatankuasa persiapan banjir negeri sudah dua kali bermesyuarat bagi melancarkan persediaan berdepan bencana itu pada tahun ini.

 “Sebenarnya kita sentiasa bersedia dalam persiapan banjir dan kita sudah pun mengadakan dua kali mesyuarat mengenai persiapan banjir ini.

 “Mesyuarat turut menyelaras mengenai pusat-pusat pemindahan yang perlu untuk mangsa banjir. Kita dah siap semuanya,” katanya di sidang media selepas merasmikan Seminar Minyak dan Gas Terengganu 2012, di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Kuala Terengganu, semalam(9 Oktober).

 Dato’ Haji Mazlan berkata, agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat di setiap daerah juga dipertanggungjawabkan untuk menguruskan hal berkaitan bekalan makanan dan bahan mentah lain kepada mangsa banjir di pusat perpindahan nanti.

Katanya, pihaknya akan memastikan setiap agensi menjalankan peranan masing-masing bagi memastikan penduduk yang berdepan dengan masalah itu mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya.