Halaman

09 October 2012

Taman Polimer Kertih unjur tarik pelaburan RM2 bilion menjelang 2020

Dato' Haji Mazlan (kiri) beramah mesra dengan peserta Seminar Minyak dan Gas Terengganu 2012 .
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Taman Polimer Kertih (KPP) diunjur mampu menarik pelaburan berjumlah lebih RM2 bilion selain bakal mewujudkan lebih 8,000 pekerjaan baru kepada penduduk negara ini dan Terengganu khasnya, menjelang 2020.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata KPP yang dibangunkan di Kompleks Industri Petroleum Petronas(PPIC) yang memfokuskan pembuatan produk berasaskan etilena berkembang maju dengan sokongan hasil penyelidikan dan juga pembangunan (R&D) bertaraf dunia oleh Pusat Teknologi Polimer Petronas (PPTC).

Peserta sedang mendengar seminar yang disampaikan.
 “Sebagai pusat teknologi yang berpandukan pasaran, ianya akan mempertingkatkan tahap perkhidmatan teknikal pelanggan, di samping membantu dari segi penambahbaikan dan pembangunan aplikasi polimer.

“Pusat ini juga akan mengeratkan lagi jalinan kerjasama antara para pengeluar polimer dan pengusaha produk plastic di KPP dalam usaha meningkatkan standard bagi industri plastik dan polimer negara ini,” katanya dalam ucapan perasmian Seminar Minyak dan Gas Terengganu 2012, di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Kuala Terengganu, pagi ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ir Hamzah Hasan; Pengarah CIDB Terengganu, Encik Ahmad Farrin Mokhtar; Ketua Pegawai Operasi Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur, Haji Maliki Endut dan ketua Pegawai Eksekutif Petronas Technical Training Sdn Bhd, Encik Wan Azhar Lotfi Wan Yusof.

Seramai 300 peserta seminar yang terdiri daripada penggiat industri pembinaan dan pelajar yang mengikuti latihan kemahiran dalam bidang berkaitan minyak, gas serta petrokimia dari Terengganu, Kelantan, Pahang dan Kuala Lumpur turut hadir di majlis itu.

Dato’ Mazlan Ngah berkata, seminar berkenaan amat penting kepada Terengganu selaku pengeluar utama minyak dan gas di negara ini bagi memastikan penggiat sektor itu dapat merebut peluang dan mendapat maklumat mengenai industri itu.

 “Sebagaimana yang kita ketahui , industri minyak dan gas serta industri sampingannya merupakan industri terpenting yang menjadi peneraju serta penyumbang utama pendapatan negeri khususnya, dan pencapaian negara berekonomi tinggi amnya, menjelang 2020 nanti.

 “Malah, industri ini dijangka berupaya menyumbang sekitar 14 peratus kepada pendapatan Kasar negara menjelang 2020 dengan pendapatan per kapitanya sebanyak RM7,600 dari RM48,000, iaitu jumlah yang diperlukan bagi mencapai tahap negara ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya.

Pada 2008, Petronas menyumbang lebih RM68 bilion kpada sumber pendapatan negara yang mana ia merupakan 44 peratus dari keseluruhan pendapatan Kerajaan Pusat pada tahun itu.

Sementara pada 2009, industri minyak, gas dan tenaga secara bersama menyumbang sebanyak RM127 bilion atau 19 peratus dari keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK @ GDP).