Halaman

09 October 2012

Sultan Mizan titah jemaah amal nilai-nilai murni

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah agar agar semua bakal jemaah haji sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni, terutama di kalangan rakan-rakan mereka sewaktu mengerjakan haji di Tanah Suci.
 Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah pada majlis meraikan bakal haji di dewan  berlepas di  Lapangan Terbang Sultan Mahmud
Baginda turut bertitah agar para jemaah sentiasa menjaga kebersihan di sekeliling yang boleh menjadi punca penyakit dan seterusnya menjejaskan kesihatan mereka.


“Semua jemaah haji dinasihatkan sentiasa mengikut arahan daripada pihak berkuasa tempatan serta peraturan-peraturan yang telah digariskan pihak Tabung Haji kerana semua ini dilaksanakan untuk menjamin keselamatan para jemaah serta melicinkan lagi proses mengerjakan haji,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah ucapan pada majlis Penyempurnaan Pelepasan Jemaah Haji Ke Tanah Suci Musim Haji 1433H/2012 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, pagi ini.


Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah turut berkenan berangkat pada majlis itu.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan ketua-ketua jabatan.

Pada penerbangan kali ini seramai 446 jemaah haji menggunakan penerbangan terus di mana pesawat yang membawa mereka akan mendarat di Jeddah dan jemaah akan dibawa ke Mekah untuk mengerjakan haji.

Sultan Mizan turut mengucapkan syabas kepada Tabung Haji di atas komitmen yang diberikan kepada jemaah haji dalam usaha mengekalkan dan menambah baik kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji.

“Akhir sekali Beta dan Sultanah mendoakan semua jemaah haji dapat mengerjakan haji dengan sempurna dan kembali ke tanah air dengan haji yang mabrur, Insya Allah,” titah baginda.