Halaman

06 October 2012

PM lawat bekas Adun Kemasek

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang melawat Terengganu hari ini sempat meluangkan masa menziarahi bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasek, Dato’ Haji Abu Bakar Ali, di kediamannya di Kertih.

Perdana Menteri dan isteri melawat bekas Adun Kemasik, Dato' Haji Abu Bakar Ali di rumahnya di Bandar Baru Kertih, Kemaman.
Dato’ Seri Mohd Najib meluangkan sedikit masa bagi bertanyakan khabar bekas Adun Kemasek itu yang terlantar sakit sejak lebih tiga bulan lalu.

Dato’ Abu Bakar merupakan salah seorang veteran Umno Terengganu yang lama berkhidmat sebagai Adun iaitu selama lima penggal (terakhir bertanding di DUN Kemasek pada Pilihanraya Umum 2004 dan menang).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan saf kepimpinan negeri turut menziarahi bekas pemimpin yang popular dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu itu.