Halaman

14 October 2012

Pemimpin, rakyat perlu saling bergandingan

Oleh: Aida Abd Rahman

Pemimpin bukan sahaja harus membantu rakyat, malah perlu sentiasa bersama dengan mereka.

Pendekatan itu menurut Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh, dapat merapatkan hubungan dan mengelak wujudnya jurang antara pemimpin dan orang yang dipimpin.

“Kita harus sentiasa bergandingan dengan mereka. Apabila rakyat melihat sudah tidak ada jurang lagi di antara yang memimpin dan yang dipimpin, tiada lagi tembok pemisah, lantaran itu pasti pemimpin mudah didekati, disenangi seterusnya saling mengasihi satu sama lain.

“Rakyat juga perlu diajak untuk bersama-sama menjadi sebagai sebahagian dari agen pembangunan dan agen perubahan. Dengan itu rasa cinta akan dapat dipupuk sekali gus mereka akan bersama-sama mempertahankan pentadbiran dan kepimpinan kerajaan hari ini,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Dato’ Wan Ahmad Farid berkata, bersesuaian dengan moto `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’, rakyat mesti melihat hasil dari dasar kerajaan itu mampu memberi manfaat kepada mereka.

Katanya, manfaat ini mungkin datang kepada mereka secara peribadi mahu pun kepada masyarakat di sekeliling sebagaimana contoh yang dekat di hati rakyat adalah sumbangan yang diperolehi melalui Tabung Darul Iman.

“Saya sendiri pernah menziarahi mangsa rumah yang terbakar dengan membawa bersama-sama saya pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mangsa menerima bantuan dalam masa yang cepat.
Selain itu, kes pesakit jantung yang mendapat bantuan segera mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta milik kerajaan negeri di Kuala Lumpur.

 “Kita juga boleh melihat bagaimana projek-projek yang kecil seperti pembaikian atau pembinaan masjid, pembinaan rumah mesra rakyat dapat pula membantu memberi manfaat kepada masyarakat setempat. Bagi saya, kebajikan kepada rakyat ini membantu menambah keyakinan mereka bahawa kerajaan barisan Nasional dan Umno bersungguh-sungguh dalam membela nasib mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama juga, bantuan kepada rakyat melalui mekanisma seperti Dana Hari Raya itu juga penting kerana berlaku pengaliran wang dari satu sektor kepada sektor yang lain. Contohnya, apabila seseorang menerima Dana Hari Raya atau Dana Bakti Remaja mereka pastinya memperuntukkan wang itu bagi membeli keperluan peribadi mahu pun keluarga ketika itu.

 “Peniaga pasar malam yang menerima wang itu pula akan membelanjakannya bagi membeli barangan yang lain. Jadi berlaku aliran wang yang seterusnya merancakkan ekonomi tempatan. Di mana-mana sahaja, kitaran wang seperti ini amat penting bagi pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat,.” katanya.

 Malah, menurut beliau prinsip dan dasar yang sama dipraktikkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang turut bekerja dengan penuh komited dan bersungguh-sungguh bagi mereliasasikan moto pentadbiran negeri, iaitu `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.