Halaman

08 October 2012

Pelajar universiti ada hala tuju jelas

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Kemenangan besar kumpulan proaspirasi (Pro-A) pada pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) baru-baru ini menunjukkan golongan pelajar kini mempunyai hala tuju yang jelas.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, berkata kemenangan itu amat bermakna kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana ia dianggap manifestasi sokongan rakyat kepada kerajaan.

“Kita harap sokongan pelajar kepada kerajaan akan berterusan hingga ke Pilihan Raya Umum Ke-13 di mana kita boleh menang besar dan membentuk kerajaan,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemenangan besar calon Pro-A pada pemilihan MPP di IPTA seluruh negara yang disifatkan memberi petanda baik kepada BN bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Kejayaan Pro-A menguasai hampir kesemua universiti, termasuk di negeri-negeri yang dikuasai parti pembangkang, pada pemilihan baru-baru ini menguatkan sokongan masyarakat kampus terhadap Kerajaan BN.

Dato’ Tengku Awang berkata, masyarakat pelajar kini telah faham dan mampu mengenali mana kaca dan yang mana intan.

“Mereka kini yakin dengan Kerajaan BN yang sentiasa menunaikan janji seperti slogan “Janji Ditepati” kerana sejarah telah membuktikan rekod pentadbiran BN.

“Masyarakat kampus sedar bahawa parti pembangkang tidak akan mampu menandingi pemimpin BN di mana pembangkang hanya pandai menabur janji tetapi tidak menunaikannya,” katanya.

Beliau turut berkata, pembentangan Bajet 2013 yang dilakukan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak amat menggembirakan golongan pelajar dan generasi muda kerana ia banyak memberi imbuhan kepada golongan tersebut.