Halaman

01 October 2012

Pameran Kebudayaan Kampung Cina papar warisan, sejarah

Oleh: Aida Abd Rahman dan Nur Syarifatul Zahidah Mukhtar (pelatih)

Pelbagai koleksi bahan sejarah dan keseniaan Kampung Cina akan dapat dihayati melalui Pameran Kebudayaan Kampung Cina yang bakal diwujudkan di perkampungan warisan itu tidak lama lagi.

 Pameran yang diwujudkan menerusi Koperasi Kampung Cina dengan peruntukan RM300,000 sumbangan MCA Kebangsaan itu menjadi satu lagi produk tarikan pengunjung ke destinasi bersejarah di Bandar Raya Kuala Terengganu itu.

 Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw, berkata peruntukan yang disalurkan kepada MCA negeri untuk tujuan itu dapat merealisasikan hasrat masyarakat Kampung Cina untuk mengabadikan sejarah dan warisan nenek moyang mereka di satu pusat khas untuk tatapan orang ramai.

“Hasil sokongan padu semua pihak, MCA Kebangsaan serta Kerajaan Terengganu yang dipimpin Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said membolehkan Koperasi Kampung Cina diwujudkan dan pelbagai aktiviti dilaksanakan menerusi dana dan bantuan yang diberikan pihak yang prihatin kepada koperasi itu.

“Usaha koperasi untuk mewujudkan Pameran Kebudayaan Kampung Cina juga tercapai dengan peruntukan RM300,000 sumbangan MCA ini,” kata beliau di majlis pelancaran Pesta Tanglung, di Pulau Warisan, Kampung Cina, baru-baru ini.

 Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Adzlan Mohd Dagang dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Tuan Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

 Dato’ Toh berkata, sokongan kerajaan negeri juga membolehkan pihaknya menganjurkan pelbagai acara sampingan yang menarik penyertaan ramai generasi muda di Kuala Terengganu dan Dewan Undangan Negeri Bandar khasnya.

 “Pesta Tanglung pada tahun ini bukan sahaja mempunyai tema ‘Saya Cintai Terengganu’ tetapi turut memberi fokus kepada pelbagai program untuk golongan muda seperti `paintball’, pertandingan fotografi, pertandingan fotografi model, pertandingan yo-yo, persembahan motor klasik dan sukan untuk orang muda selain satu program yang baru dinamakan `flash mob’.

“Saya pun tidak tahu apa itu (flash mob), tetapi katanya ini trend orang muda. Asalkan orang muda suka, kita anjurkan untuk mereka dengan sokongan daripada pihak YAB Menteri Besar, kita dapat melakukan kesemuanya,” katanya.