Halaman

11 October 2012

Negara Islam luar negara kagum sistem pendidikan Islam Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Negara-negara luar kagum dengan sistem pendidikan yang dilaksanakan di Terengganu, terutama yang berasaskan al-Quran.

Sehubungan itu, tidak hairanlah jika Sekolah Menengah Imtiaz dan kelas-kelas tadika Yayasan Islam Terengganu yang melaksanakan Program Pintar al-Quran sering dilawati masyarakat Islam dari luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata terbaru 23 peserta yang terdiri daripada bakal imam dari negara Indonesia, Thailand dan Kemboja datang melawat Sekolah Menangah Imtiaz Besut, baru-baru ini.

“Mereka kagum dengan keistimewaan dan keunikan sistem pendidikan berasaskan al-Quran yang digunakan di sekolah berkenaan,” katanya ketika ditemui Teganukita kelmarin.

Menurutnya, masyarakat Islam dari luar negara turut kagum dengan usaha-usaha kerajaan negeri menyemai sikap gemar membaca al-Quran di kalangan kanak-kanak seawal usia merea berada di tadika lagi.

“Mereka memuji kehebatan Terengganu yang berjaya mengendalikan program yang membolehkan hampir 10,000 kanak-kanak tadika khatam al-Quran pada setiap tahun,” katanya.

Dato’ Haji Ahmad Razif berkata, bagi pihak kerajaan negeri program berkenaan akan diperkemaskan dari semasa ke semasa agar hasrat membentuk masyarakat ‘celik al-Quran’ tercapai.

“Inilah yang kita lakukan bagi membolehkan masyarakat negeri ini mahir membaca al-Quran dan ia diharapkan menjadi ‘role model’ bukan saja di kalangan negeri-negeri lain, tetapi meliputi negara Islam peringkat global,” ujarnya.