Halaman

04 October 2012

LGBT perlu ditangani bersama

Oleh; Esah Abdullah

Pendidik dan ibu bapa perlu ada kesedaran dan kefahaman tentang isu lesbian, gay,bisexual dan transgender (LGBT) yang melanda masyarakat hari ini, bagi menanganinya secara bijaksana.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Haji Mohd Fuad Zarkashi berkata, masalah LGBT merupakan satu masalah besar dan perlu ditangani secara bersama antara kerajaan dan golongan pendidik serta ibu bapa.

“Yang penting mereka yang terbabit perlu dipulihkan dan setakat ini ada yang telah kembali ke pangkal jalan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keibubapaan Menangani Isu LGBT di Stadium Negeri Kuala Terengganu hari ini.

 Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman. Dr Mohd Fuad berkata, masalah tersebut merupakan isu yang besar di negara kita dan perlu ditangani secara bersama oleh masyarakat.

“Apa yang berlaku hari ini, ibu bapa sendiri sebenarnya tidak sedar bahawa anak mereka telah terjebak ke dalam gejala ini dan hanya tahu setelah mereka telah jauh terpesong,” katanya.

Beliau turut menayarankan agar pelajar-pelajar dapat bertemu dengan guru kaunseling tiga kali dalam tempoh seminggu dan guru-guru juga perlu ada kemahiran mengendalikan pelajar yang mempunyai masalah tersebut.

Katanya, guru-guru harus bijak menangani masalah ini dengan menilai kebaikan dan tidak membesarkan keburukan serta beri tunjukajar tentang kebaikan yang termuat dalam internet.

Beliau menyarankan guru-guru teknologi maklumat (IT) boleh memberi lebih banyak pendedahan kepada pelajar mengenai kemudahan yang ada di internet khususnya dalam hal-hal ilmiah.

“Kerajaan hari ini bertindak untuk perbetulkan perkara yang salah dan saya berani mengatakan ada pihak telah mengambil kesempatan mempolitikkan perkara ini dan mengeluarkan pelbagai tuduhan terhadap kerajaan,” katanya

Katanya, kebimbangan kita hari ini ialah ada pemimpin yang melihat kepentingan politik sahaja tanpa melihat kepentingan negara bangsa yang ingin kita bina dan mereka anggap inilah kesempatan yang harus diambil untuk mendapatkan simpati rakyat.