Halaman

30 October 2012

Kaki pancing rebut hadiah RM10,000 sempena MCT-Tasik Kenyir

Oleh: Aida Abd Rahman

Hadiah kemenangan berjumlah RM10,000 menjadi rebutan kaki pancing sempena Monsoon Casting Tournament (MCT 2012) di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu pada 14 hingga 17 November ini.

Acara tahunan yang dianjurkan Kelab Memancing kakingailforum.com dan Lubuk.net dengan kerjasama Kerajaan Terengganu yang memasuki edisi keempat itu bakal menghimpunkan 150 peserta tempatan dan luar Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata dalam pertandingan empat hari tiga malam itu, kerajaan negeri turut menawarkan RM20,000 kepada kaki pancing yang berjaya menaikkan ikan spesies Arowana yang dikatakan terdapat di tasik buatan manusia itu.

Katanya, pertandingan terbahagi kepada lima kategori iaitu King of Sebarau, King of Toman, King of Special, Best of Tekong dan King of MCT2012.

“Sehingga kini, seramai 110 peserta daripada pelbagai kelabmemancing termasuk Lubuk. Net, kakingailforum.com, Longkah Kuantan, Johor Fishing Trible, Kayak Cast, darul Naim Angler, Terengganu Casting Extream dan Majalah Pancing antara yang mengesahkan penyertaan kali ini.

“Sebelum tarikh tutup pada 5 November ini, penyertaan dijangka akan meningkat sehingga 150 orang kesemuanya,” katanya.

Dato’ Abdul Rahin berkata, pertandingan mampu mempromosikan Tasik Kenyir sebagai kawasan pelancongan, pusat memancing utama selain mewujudkan rangkaian sosial di kalangan kaki pancing di seluruh negara.

Menurutnya, mereka yang berminat menyertai acara itu boleh mendaftar di laman web kakingailforum.com atau Lubuk.net, selain boleh mendapatkan borang di mana-mana kedai menjual peralatan memancing yang terpilih di seluruh Malaysia.