Halaman

10 October 2012

Jabatan Meteorologi ramal Terengganu akan mengalami lima episod hujan lebat

Oleh; Esah Abdullah

Gambar fail
Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) meramalkan beberapa buah negeri di Semenanjung khususnya di kawasan Pantai Timur termasuk Terengganu akan mengalami tiga hingga lima episod hujan lebat tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, hujan lebat diramalkan berlaku selama tiga empat hari yang boleh menyebabkan kejadian banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai.

“Jangkaan jumlah hujan yang turun sekitar 170 hingga 270 mm pada Oktober kemudian meningkat kepada 570 hingga 860mm pada November dan 430 hingga 660mm pada Disember,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Mesyuarat Bersama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu di Bilik Mesyuarat Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu hari ini.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda dan semua wakil jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dengan persediaan menghadapi banjir di negeri ini.

Katanya, sekiranya berlaku keamatan hujan yang tinggi iaitu lebih 100mm sehari dan berterusan selama 48 jam serta aras air laut yang tinggi akan memungkinkan banjir berlaku.

“Tarikh jangkaan berlaku banjir bulan depan ialah 14 hingga 19 November dan 27 hingga 30 November manakala Disember ialah pada 12 hingga 19 dan 25 hingga 31 Disember,” katanya.

Menurutnya, bermula musim banjir tahun ini Jabatan Parit dan Saliran (JPS) akan melakukan pemasangan web kamera pemantauan banjir di empat lokasi terpilih iaitu di Kampung Gong Terap dan berdekatan Sekolah Kebangsaan Kampung Buluh, Setiu serta di Jambatan Jerteh dan Kampung La, Besut.

 “Saya berharap orang ramai sentiasa mendengar hebahan keadaan banjir dari radio dan televisyen sebelum keluar rumah atau melakukan perjalanan jauh untuk keselamatan diri dan keluarga,”

katanya. Katanya, segera berpindah jika diminta berbuat demikian oleh petugas banjir bagi mengelak sebarang kemalangan yang boleh meragut nyawa.

Dalam perkembangan lain, urusetia JPBN akan menganjurkan program Kesedaran Bencana Peringkat Komuniti melibatkan tiga lokasi iaitu Dungun, Kuala Terengganu dan Kemaman bagi meningkatkan kesedaran dan menjadikan komuniti tempatan sebagai front-liner dalam mendepani sebarang bentuk bencana di kawasan mereka.