Halaman

04 October 2012

IKBN Kemasik turut beri manfaat kepada masyarakat setempat

Oleh: Suriati Ali


Kewujudan Institut Kemarihan Belia Negara (IKBN) Kemasik, Kemaman bukan saja menawarkan kursus berkaitan kepada pelajar malah turut memberi faedah kepada masyarakat setempat berikutan menawarkan kursus-kursus kemahiran jangka pendek dan berpeluang menggunakan kemudahan di institut itu.

Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Shabery Cheek, berkata apa yang ditawarkan kepada penduduk, terutama suri rumah dan ibu tunggal seperti kursus memasak, menjahit, membuat kek dan pastri itu mampu mengubahkan graf kemiskinan keluarga kepada kehidupan lebih selesa.

"Selain itu, kemudahan peralatan sukan, dewan asrama turut boleh diguna pakai oleh masyarakat luar sebagai inisiatif melahirkan individu sihat dan gemar bersukan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian IKBN Kemasik, Kemaman, hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan IKBN itu sempena sambutan Hari Keputeraan ke-50 baginda.

Penubuhan IKBN tersebut merupakan satu bukti kecaknaan kerajaan terhadap golongan belia di negara dalam usaha menyediakan pelbagai latihan dalam memberi nilai tambah kepada golongan itu.

Dato' Seri Shabery turut memberitahu melalui IKBN Kemasik golongan belia mampu mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam bidang kemahiran dan mampu menempatkan diri dalam sektor perindustrian yang berkembang pesat di negara pada masa ini.

"Kita berharap dengan kemudahan seperti ini dapat dimanfaat golongan muda untuk menempatkan diri mereka di dalam bidang perindustrian dan kerjaya-kerjaya lain apatah lagi di IKBN Kemasik turut menawarkan fokus kerjaya yang jarang dikenali sebelum ini iaitu kedi.

" Ia dikendalikan di bawah Akademi Kemahiran Belia Golf yang kini telah pun melahirkan kira-kira 50 kedi dan telah mendapat pekerjaan di seluruh kelab golf di negara.

 "Selain itu, bidang-bidang seperti perhotelan juga merupakan satu bidang yang semakin mendapat tempat di dalam industri dan saya berharap pada masa akan datang IKBN dapat membina sebuah hotel latihannya sendiri yang dilengkapi dengan kemudahan terbaik serta menjadi tanda aras kepada sekolah-sekolah perhotelan lain," katanya.