Halaman

01 October 2012

“HAYATI IKRAR PERKHIDMATAN AWAM” DATO’ MAZLAN NGAH.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah meminta penjawat awam supaya menghayati prinsip ikrar perkhidmatan yang telah diikrarkan pada masa mula-mula menjawat jawatan yang diberikan. 

Antara lain ikrar perkhidmatan awam ialah:
Kami yang telah dilantik berkhidmat dengan kerajaan Malaysia membuat ikrar di sini bahawa semasa dan selagi kami berkhidmat dengan Kerajaan, kami akan patuh dengan mengamalkan teras-teras perkhidmatan semasa menjalankan tugas. Ke arah ini kami:
·        Berazam meningkatkan mutu perkhidmatan;
·        Bekerja dengan penuh tanggungjawab;
·        Berusaha mengikis sikap mementingkan diri sendiri;
·        Berkhidmat dengan penuh muhibah dan kemesraan;
·        Bekerja ke arah memajukan pemikiran rakyat dan pembangunan negara;
·        Bekerjasama dalam membanteras kelemahan dan musuh-musuh negara; dan
·        Berpegang teguh kepada ajaran agama.

Berikutan adalah sambungan wawancara Pengarang Teganukita merangkap Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Negeri , Ruslan Abdul Rahman dengan Dato’ Haji Mazlan baru-baru ini.


Pengarang  : Mengapa perlunya ikrar itu dihayati?

Dato’ Haji Mazlan: Ini adalah untuk memastikan kita dapat menunaikan tanggungjawab dengan baik. Prinsip ikrar yang paling penting ialah mengimbangkan kepentingan peribadi dengan memberi keutamaan kepada kepentingan jabatan dan pentadbiran. Selain itu, konsep integriti dan amanah untuk tidak menyeleweng ataupun melakukan rasuah sahaja, malah kita perlu mematuhi kerja pada masa yang tepat.

Pengarang: Itu sahaja ruang lingkup integriti?

Dato’ Haji Mazlan: Kita juga perlu integriti dalam menyampaikan maklumat kepada yang memerlukan. Sekiranya maklumat yang disampaikan kepada ketua jabatan tidak tepat, maka keputusan yang diambil juga tidak tepat.

Pengarang:  Apa lagi nasihat Dato’ kepada mereka (anggota perkhidmatan awam)?

Dato’ Haji Mazlan: Selain itu, konsep syukur juga amat perlu dititikberatkan dan ia perlu bagi setiap pegawai dan kakitangan perkhdimatan awam yang banyak menikmati faedah dan pemberian. Dengan bersyukurlah kita akan dapat menjalankan tugas dengan penuh bertanggungjawab, amanah serta berintegriti.

Pengarang: Tentang tahap kualiti tugas yang dijalankan?

Dato’ Haji Mazlan: Saya berharap agar penjawat awam dapat meningkatkan tahap profesionalisma masing-masing mengikut jawatan yang disandang. Oleh itu, kita perlu rajin membaca dan menambah ilmu pengetahuan dan mengikuti kursus-kursus yang ditetapkan, di mana setiap penjawat awam telah ditetapkan untuk mengikuti kursus tujuh hari dalam setahun.

Pengarang:  Apa respon orang ramai terhadap perkhidmatan awam di Terengganu?

Dato’ Haji Mazlan: Secara umumnya baik, namun penjawat awam juga perlu memberi keutamaan untuk memenuhi kehendak rakyat . Aduan daripada rakyat perlu diteliti dan ambil tindakan sebab kadang-kadang setiap aduan ada juga kebenarannya dan sebab itu kita ada e-aduan.

Pengarang: Akhir sekali apa harapan Dato’ kepada anggota perkhidmatan awam?

Dato’ Haji Mazlan: Saya berharap agar semua penjawat awam menghayati konsep Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan di peringkat negeri dan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan di peringkat Malaysia. Fahamilah pendekatan itu dan bertindak dalam perlaksanaan merealisasikannya sebagai suatu kenyataan dan amalan.