Halaman

08 October 2012

Guru SMAN Terengganu sudah diberi pilihan

Oleh: Noraini Jusoh

Guru-guru Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Terengganu sebenarnya telah diberi pilihan samada untuk kekal di bawah kerajaan negeri atau diserapkan di bawah Kementerian Pelajaran.

Oleh yang demikian, tidak timbul masalah tidak puas hati setelah mereka diserapkan ke dalam skim perkhidmatan pelajaran kerana mereka sendiri yang telah membuat persetujuan melalui opsyen yang telah diberikan.

Demikian ditegaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd. Rahman ketika diminta mengulas mengenai surat oleh Guru Dilema dalam ruangan forum akhbar Utusan Malaysia bertarikh 27 September lalu.

“Semasa tawaran pertukaran pelantikan untuk menyertai Kementerian Pelajaran ini dibuka kepada guru-guru SMAN Terengganu tiada paksaan samada mereka ingin menerima tawaran ini atau tidak. “Kebanyakan golongan muda memberikan reaksi positif terhadap tawaran ini dan hanya sebilangan kecil sahaja yang tidak bersetuju.” ujarnya.

Menurut beliau lagi, guru-guru agama yang baru berkhidmat dan masih muda menyokong penuh usaha kerajaan ini kerana berpendapat bahawa tawaran ini membuka peluang kepada mereka untuk kenaikan pangkat dan kedudukan setaraf dengan guru di bawah Kementerian Pelajaran yang lain disamping berpeluang melanjutkan pelajaran.

 “ Sebilangan guru-guru yang tidak bersetuju dengan tawaran ini terdiri daripada mereka yang telah lama berkhidmat dan akan pencen tidak lama lagi.

 “Justeru, soal paksaan dan tidak puas hati sekiranya menerima arahan untuk bertukar keluar daerah seharusnya tidak timbul kerana semasa Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dan Kementerian Pelajaran diadakan, mereka mempunyai hak untuk membuat pilihan.’’ tambahnya.

Mengenai soal tugasan pula, Dato’ Ahmad Razif turut menjelaskan bahawa tidak berlaku pertindihan tugas kerana semua tugas guru-guru SMAN Terengganu telah diselaraskan.

Oleh itu, diharap semua guru SMAN Terengganu sentiasa bersemangat untuk mendidik anak-anak dan tidak menjadikan isu ini sebagai halangan untuk mereka mencurah ilmu kepada generasi muda.