Halaman

31 October 2012

Graduan ILP jadi perhatian industri

Oleh: Suriati Ali

 Kebijaksanaan Institut Latihan Perindustrian (ILP) melatih pelajar mengikut peredaran semasa membuatkan graduan institut itu menjadi perhatian dan rebutan industri terkemuka di negara ini.


Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Haji Syed Mohamad Noor Syed Mat Ali, berkata berdasarkan rekod setiap tahun, kira-kira 88 peratus daripada 9,000 jumlah graduan berjaya mendapat pekerjaan selepas enam bulan atau setahun menamatkan pengajian.

Manakala bagi ILP Kuala Terengganu pula, hampir 93 peratus daripada 1,200 graduan tahun lalu berjaya mendapat pekerjaan di pelbagai industri dengan anggaran gaji permulaan RM1,200 sebulan.

“Lebih lama mereka bekerja, di samping menampilkan komitmen tugas berkualiti, lebih mahal gaji yang ditawarkan, ada kalanya boleh mencecah RM3,000 sebulan.

 “Angka yang dicatatkan itu, merupakan peratusan membanggakan sekaligus membuktikan `produk’ keluaran ILP berkualiti dan memenuhi kehendak pasaran industri,” katanya.



Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kreativiti dan Inovasi ILP Kuala Terengganu, di Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini. Hadir sama, Pengarah ILP Kuala Terengganu, Encik Abdul Halim Abd Rahman dan Dekan Fakulti Pengajian Maritim Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Wan Mohd Norsani Wan Nik.



 Sempena program itu, sebagai 13 peserta daripada pelbagai jurusan mengambil bahagian dalam Pertandingan Rekacipta dan Inovasi. Haji Syed Mohamad Noor turut memberitahu, pihaknya ada menubuhkan Unit Pemantauan Graduan bagi mengesan lebihan graduan yang masih menganggur.

“Jika mengetahui terdapat mana-mana industri memerlukan tenaga kerja, kita akan cadang mereka yang masih mencari kerja supaya bertugas di industri itu.

“,Melalui pendekatan ini, tiada lagi istilah graduan ILP bermungkinan menganggur, jika ada pun, ia berpunca daripada sikap graduan itu sendiri yang malas bekerja atau tidak mahu merantau,” katanya.

 Katanya, apa menyedihnya, ada juga kes mereka sudah pun mendapat pekerjaan tetapi hanya bertahan dua atau tiga bulan saja. Alasan berhenti cukup remeh iaitu tidak sesuai dengan jiwa.

 “Saya ingin mengingatkan pelajar yang masih belajar supaya jangan bersikap sedemikian apabila mendapat pekerjaan nanti.

“Tindakan itu bukan saja boleh menjejaskan imej ILP malah boleh menghilangkan kepercayaan industri terhadap keupayaan dan prestasi pelajar lain yang baru memohon pekerjaan,” katanya.