Halaman

15 October 2012

Cakna keluarga bersama YPK

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK ) baru-baru ini menganjurkan Forum Perdana berkaitan kekeluargaan di Dewan Komuniti Pulau Bahagia.


Penceramah jemputan kali ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh, YB Ustaz Muhammad Ramli Nuh, Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood dan Ustaz Wan Akashah yang telah berjaya mengupas isu-isu kekeluargaan dengan cara menarik.

Didikan agama adalah asas kebahagiaan rumah tangga dan semua yang hadir di ingatkan supaya menitikberatkan amalan ini dalam kehidupan seharian.

Dalam memberikan kasih sayang yang tiada terhingga kepada keluarga hendaklah dengan cara memberi hadiah sebagai tanda ingatan, memberi kata-kata rangsangan ataupun memuji dengan perkataan yang baik dan sentuhan fizikal seperti bersalaman antara anak dan kedua ibu bapa.

“Gunakan panggilan yang baik. Isteri memanggil suami dengan perkataan ‘abang, honey, darling, sayang’. Suami pula memanggil isteri dengan panggilan ‘honey, darling, sayang,’ atau nama manja. Nabi s.a.w. memanggil A’ishah dengan ‘Humairaa’ yang boleh diertikan ‘si merah jambu’. Elakkan panggilan ‘ayahnya, bapanya, abahnya, papa, daddy’ dan seumpamanya. Elakkan ‘maknya, mama’ dan sebagainya.

“Ini berlaku selepas pasangan mendapat anak. Panggilan ini kadang-kadang bukan sahaja digunakan di hadapan anak bahkan semasa pasangan berdua sahaja. Jangan jadikan panggilan ‘darling’ dan ‘sayang’ di awal perkahwinan, tetapi di akhir perkahwinan ’pinggan dibaling senduk melayang’.”ucap Ustazah Nor Bahyah sewaktu menyampaikan ceramahnya baru-baru ini.

Ustazah Siti Nor Bahyah dan Ustaz Wan Akashah juga mengaitkan dengan rahsia kebahagiaan hidup Rasullullah di mana memanggil isterinya dengan nama manja. Malahan bersama selalu membantu Saidatina Aishah menguruskan rumah tangganya.

Begitu juga air tangan emak di mana setiap anak akan tetap mengatakan masakan emak atau isteri adalah terbagus walaupun hanya yang biasa-biasa sahaja kerana emak atau isteri memasak dengan penuh kasih sayang buat keluarga tercinta.

Itu rahsianya kenapa sehingga bila-bila masakan emak tetap menjadi ingatan. Rata-rata yang hadir pada hari itu merasakan apa yang disampaikan cukup bermakna kepada mereka dalam membina keluarga yang bahagia .Mereka mengharapkan program seperti ini akan diteruskan dari masa ke semasa.