Halaman

31 October 2012

Asdi agih pendapatan 3.0 sen seunit bermula esok

Oleh: Aida Abd Rahman

Tabung Amanah Saham Darul Iman (Asdi) akan mengagihkan pendapatan 3.0 sen seunit untuk tahun kewangan berakhir hari ini kepada 24,250 pelabur tabung unit amanah itu, bermula esok.

Agihan yang melibatkan peruntukan berjumlah RM12.68 juta bakal dilaksanakan dalam bentuk 2.0 sen tunai dan 1.0 sen bonus unit.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah (gambar kanan), berkata berdasarkan keuntungan yang boleh diagihkan berjumlah RM12.89 juta, Pengurus Asdi, PTB Unit Trust Berhad menutuskan untuk mengagihkan pendapatan 3.0 sen seunit yang juga pulangan bersamaan 7.25 peratus berdasarkan nilai tabung seunit RM0.414 pada awal tahun kewangan.

“Bagi keseluruhan tahun kewangan sehingga 29 Oktober lalu, nilai aset bersih (NAB) Tabung Asdi meningkat RM17.86 juta atau 10.58 peratus menjadi RM186.66 juta berbanding awal tahun kewangan RM168.80 juta.

“Sementara NAB seunit bertambah sebanyak RM0.0277 atau 6.7 peratus dari RM0.4140 kepada RM0.4417,” katanya di sidang media sejurus selesai Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Mazlan berkata, bagi tahun kewangan hingga 29 Oktober lalu juga, Asdi berjaya merekod pendapatan yang direalisasikan berjumlah RM15.93 juta sebelum ditolak perbelanjaan berjumlah RM2.93 juta dan peruntukan cukai RM0.46 juta yang menghasilkan jumlah keuntungan bersih selepas cukai RM12.89 juta.

Katanya, jumlah keuntungan yang direalisasikan bersih itu juga bersamaan 3.05 sen seunit berbanding RM8.91 juta bersamaan 7.25 peratus berdasarkan nilai tabung seunit RM0.414 pada awal tahun kewangan ini.

Untuk rekod, Asdi merupakan tabung unit amanah yang berteraskan syariah dilancarkan pada 31 Oktober 1994 dengan saiz tabung yang diluluskan berjumlah 500 juta unit.

Sehingga 29 Oktober lalu, sejumlah 422.60 juta unit Asdi dilanggan oleh 24,450 pelabur. Selain itu, sepanjang tempoh penubuhannya Asdi sudah mengagihkan pendapatan berjumlah RM329.17 juta atau 74 sen seunit (70 sen agihan tunai dan 4 sen bonus unit) yang menjadikan purata agihan pendapatan setahun berjumlah 4.11 sen seunit.