Halaman

16 October 2012

Akibat tidur sebantal mimpi lain-lain...

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Celarunya hubungan Pas dan DAP
Umum sudah tahu bahawa pakatan antara Pas dengan DAP umpama tidur sebantal tapi mimpi lain-lain...

Perkahwinan campur antara dua parti itu, kini terbukti tidak mampu membuahkan hasil yang baik apabila masalah demi masalah menimpa Pas yang hanya terpaksa tunduk kepada kehendak DAP.

Terkini, parti itu menghadapi masalah untuk melaksanakan garis panduan papan iklan di Kedah yang antaranya menggunakan model berpakaian sopan dan perlu bertudung jika beragama Islam.

Peraturan yang mahu diperkenalkan oleh Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS) itu bakal menekankan model dalam gambar perlu sopan dan berpakaian tidak menjolok mata dan jika model yang terlibat beragama Islam, mereka perlu menutup aurat.

Pas ingin berbohong lagi kepada rakyat.
Selepas Datuk Bandar MBAS, Datuk Mat Noh Ahmad tampil membuat kenyataan bahawa pihaknya bercadang untuk melaksanakan peraturan tersebut, DAP dengan lantang menegaskan bahawa parti itu menentang undang-undang berunsur Islam jika ia mahu dilaksanakan Kerajaan Pas Kedah.

Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik menegaskan pihaknya menentang cadangan tersebut kerana sebarang perkara berkaitan undang-undang Islam perlu dipersetujui oleh semua parti dalam pakatan pembangkang di peringkat Pusat dan negeri.

Itu baru soal kecil berkaitan undang-undang kecil yang mahu dilakukan oleh Majlis Perbandaran Alor Star, bukan lagi berhubung isu lebih besar seperti pelaksanaan hukum hudud.

Bayangkan jika Pas mahu melaksanakan hukum hudud yang sememangnya diketahui umum ia sangat ditentang oleh pucuk pimpinan DAP, termasuk Karpal Singh yang pernah menegaskan Pas perlu melangkah mayatnya terlebih dulu sebelum mahu melaksanakan hudud.

Dalam hal ini kita semua dapat melihat dengan jelas betapa celarunya hubungan antara Pas dan DAP.

Dan amat wajarlah jika banyak pihak, termasuk beberapa pemimpin kanan Pas sendiri menentang pakatan Pas dengan DAP kerana mereka sedar masalah besar yang bakal menimpa parti itu.

Bahana lebih besar bakal menimpa Pas jika masalah itu berlarutan dan lebih ramai pemimpinnya meninggalkan parti kerana tidak puas hati dengan pakatan Pas-DAP yang hanya direstui segelintir saja pemimpin Pas.