Halaman

24 September 2012

Wakaf Mempelam pilihan TPM

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin memilih kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam sebagai lokasi lawatan kerja sehari ke Terengganu, esok.

 “Bagi Umno Bahagian Kuala Terengganu, lawatan Timbalan Perdana Menteri ke Wakaf Mempelam merupakan satu penghormatan kepada kepimpinan Umno bahagian ini. Kita harap kunjungan beliau akan memberi impak yang besar kepada DUN ini dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang,” kata Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Beliau menjelaskan, sebelum ini pemimpin nombor dua negara itu telah melakukan lawatan kerja di tiga DUN lain dalam bahagian Kuala Terengganu iaitu DUN Batu Buruk, DUN Bandar dan DUN Ladang.

“Dengan kehadiran Tan Sri Muhyiddin ke DUN Wakaf Mempelam esok, maka lengkaplah lawatan beliau ke semua DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu.

 “Justeru itu, kita mahu memberi sambutan paling meriah kepada Timbalan Perdana Menteri dan persiapan rapi sedang dilakukan bagi tujuan tersebut,” katanya.

Beliau berharap penduduk di kawasan DUN Wakaf Mempelam beramai-ramai datang ke Sekolah Menengah Sultan Ahmad petang esok bagi menyambut Timbalan Perdana Menteri dan rombongan.

Tan Sri Muhyiddin dijadualkan tiba di Sekolah Menengah Sultan Ahmad kira-kira jam 3 petang. Dato’ Wan Ahmad Farid selaku tuan rumah dan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan menyampaikan ucapan bagi mengalu-alukan kedatangan Timbalan Presiden Umno itu.

Selepas menyampaikan amanat, Timbalan Perdana Menteri akan turut menyampaikan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik di kawasan DUN Wakaf Mempelam dan Parlimen Kuala Terengganu.

Bagi pemerhati politik kunjungan beliau ke DUN Wakaf Mempelam bakal meniupkan semangat kepada jentera pilihan raya Barisan Nasional di kawasan itu dalam usaha merampas kembali DUN berkenaan daripada pembangkang.

DUN Wakaf Mempelam dikuasai pembangkang sejak 30 tahun lalu, mungkin kali ini Timbalan Perdana Menteri mampu berbuat sesuatu bagi ‘mengubah’ pemikiran penduduk di kawasan tersebut untuk beralih angin dengan mengundi calon BN pula.

Sebelum ini, Menteri Besar pernah berjanji untuk menyediakan lebih banyak rumah kos rendah dan rumah mampu milik sekiranya DUN Wakaf Mempelam dimenangi calon BN pada pilihan raya umum akan datang.

Jadi sekarang ini terpulang kepada pengundi DUN berkenaan berbuat sesuatu bagi memberi peluang kepada BN untuk membangunkan kawasan tersebut dengan lebih baik berbanding jika ia berada di tangan pembangkang.