Halaman

26 September 2012

TPM lulus bina kemudahan baru untuk penduduk, SMK Sultan Ahmad

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar ZULKIPLI PUTRA

Lawatan Timbalan Perdana Menteri ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam membawa berita gembira buat penduduk sekitar apabila meluluskan peruntukan RM1 juta untuk pembinaan sebuah dewan baru di Kampung Panji, untuk memudahkan penduduk mengadakan aktiviti keramaian.

Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin turut mengumumkan peruntukan RM430,000 bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Kuala Terengganu untuk memperbaiki dewan sekolah, surau, gelanggang dan menyumbang sebuah van sekolah.


Beliau mengumumkan demikian sempena program Sepetang Bersama TPM di sekolah berkenaan, dalam kawasan DUN Wakaf Mempelam, sebagai sebahagian daripada lawatan sehari ke Terengganu.

Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata penduduk kampung telah mengenal pasti tapak bagi pembinaan dewan itu yang dijangka dapat menampung 1,000 orang.

 Katanya, kemudahan dewan yang baru bagi menggantikan dua dewan kayu sedia masing-masing di Kampung Durian Burung dan Kampung Losong Panglima Perang, yang dibina lewat 70-an dan awal 80-an.

Seorang penduduk, Hashim Mamat, 54, berkata kemudahan asas yang bakal dibangunkan itu membuktikan hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno sahaja mampu membela dan menyelesaikan masalah penduduk.

“Pembangkang hanya ada pada nama sahaja, gagal melaksanakan pembangunan biarpun diberi mandat sudah lebih 30 tahun mentadbir DUN ini. Jadi, lepas ini semua orang kena pilih kerajaan yang terbukti benar-benar mampu membela nasib rakyat,” katanya.