Halaman

12 September 2012

TNB yakin dapat atasi gangguan




Oleh: Suriati Ali

Tenaga Nasional Berhad (TNB) optimis tempoh purata gangguan bekalan elektrik dapat dikurangkan kepada 50 minit pada tahun 2015 berbanding 70 minit ketika ini dengan pembinaan beberapa loji janakuasa baharu, di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Azman Mohd berkata purata masa gangguan kini jauh lebih baik berbanding tempoh antara 300 minit dan 400 minit, lima tahun lepas.

"Sistem Indeks Tempoh Purata Masa Gangguan (SAIDI) yang merekod durasi masa serta frekuensi gangguan adalah penunjuk aras yang diguna pakai oleh TNB dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kami.

"Apabila kesemua projek itu siap tiga tahun lagi, TNB yakin masalah gangguan bekalan elektrik dapat dikurangkan dengan tahap SAIDI yang semakin pendek," katanya kepada pemberita selepas majlis jamuan Aidilfitri TNB di Jalan Cherong Lanjut, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata antara loji kuasa hidroelektrik berskala besar yang sedang dalam pembinaan ialah di Hulu Terengganu di sini dan Ulu Jelai di Pahang, manakala loji jana kuasa arang batu, di Manjung, Perak.