Halaman

09 September 2012

Terengganu tuan rumah KIK Perpustakaan SeMalaysia kali ke-4

Oleh: Aida Abd Rahman
Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dan Majlis Pengarah Perpustakaan Awam Negeri akan mengajurkan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perpustakaan SeMalaysia kali ke- 4 2012 bertempat di Hotel Permai, Kuala Terengganu, pada 18 hingga 19 September ini.

Majlis bakal dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains,Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman.

Pengarah PPAT,Hajah Nor Akmal Abd Fatah, berkata Konvensyen KIK bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai produktiviti dan kualiti serta menjadikan KIK sebagai satu alat untuk penyelesaian masalah serta penambahbaikan yang berterusan, memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada anggota perpustakaan di seluruh negara yang terlibat dalam kumpulan KIK masing-masing.

“Pada masa yang sama ia juga memberi peluang membentangkan idea dan projek mereka serta berkongsi pengalaman kumpulan KIK masing-masing serta meningkatkan kesedaran dalam menambah nilai produk dan perkhidmatan sedia ada.

“Peserta juga mampu memberi idea yang kreatif dan inovatif bagi meningkatkan kualiti kerja serta memberikan perkhidmatan perpustakaan yang cemerlang ke arah mewujudkan masyarakat Malaysia berasaskan ilmu pengetahuan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Selain itu, sebanyak 16 kumpulan akan menyertai KIK termasuk Titanium, C-FAR, KL LIB, R.E.A.D, WAVE ICQ, Spektrum, Tuah, Vitalize, X-Tra Ordinary, 5K, Intelek 2.0, Q-LIB, Smart Layer, Bibliotera, Elite 10 dan Lentera.

Program Konvesyen bermula pada 18 September (Selasa) jam 9 pagi didahului dengan ucapan oleh Pengerusi Majlis pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam SeMalaysia, sebelum ucapan perasmian oleh Dato’ Ahmad Razif.

Sementara majlis penutup pula akan berlangsung pada 19 September (Rabu) jam 8.15 malam dengan ucapan penutup oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu(Pengurusan) merangkap Timbalan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahmad Muda.

Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah dan diakhiri dengan acara makan malam sebelum melabuh tirai oleh persembahan lagu-lagu Tradisional Terengganu.