Halaman

17 September 2012

Terengganu terima tempias himpunan haram Bersih

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Terengganu turut menerima tempias akibat tindakan segelintir rakyat Malaysia mengadakan perhimpunan haram Bersih di Tanah Suci Makkah, awal tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata akibat tindakan yang tidak bertangggungjawab itu, kerajaan negeri hanya mampu menghantar 50 kakitangan kerajaan mengerjakan haji di Tanah Suci pada tahun ini.

Beliau berkata, sepatutnya semua 100 kakitangan kerajaan serta imam dan bilal yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahun ini dihantar mengerjakan haji sebagai sebahagian daripada ganjaran mereka meraih anugerah tersebut.

“Bagaimanapun, disebabkan Kerajaan Arab saudi mengehadkan kuota bagi tujuan tersebut, kita hanya boleh menghantar 50 kakitangan kerajaan menunaikan haji tahun ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Yayasan Terengganu (YT) di Primula Beach Hotel, hari ini.

Hadir sama Pengarah YT, Encik Zakaria Yusof dan pegawai-pegawai kanan serta warga kerja YT.

Dato' Haji Mazlan Ngah menyampaikan anugerah kepada kakitangan YT yang cemerlang.

Dato’ Haji Mazlan berkata, jika kejadian yang mencemarkan imej Malaysia di luar negara itu tidak berlaku, kerajaan negeri mendapat kuota tambahan bagi membawa lebih ramai kakitangan kerajaan serta imam dan bilal menunaikan haji.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk negeri ini supaya menghindarkan diri daripada melakukan tindakan yang boleh mencemarkan imej negara, termasuk menjejaskan kuota haji.