Halaman

06 September 2012

PPNT sedia galas tanggungjawab jayakan TMT


Oleh; Esah Abdullah



Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) bersedia menggalas tanggungjawab yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri untuk bersama-sama menjayakan program Tahun Melawat Terengganu (TMT) pada 2013.

Pengerusinya, Haji Wan Supian Dato’ Wan Ishak berkata, pihaknya bersedia memain peranan dan merealisasikan apa saja tugas yang diberikan kerajaan dan akan memastikan TMT berjalan lancar.

“Saya berharap kerajaan segera menghidupkan Payang Warisan Alam Kebudayaan (Payang Walk) yang dirancang sekian lama demi merealisasikan program TMT,” katanya kepada pemberita di majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama ahli-ahli di Kompleks Kraf Noor Arfa (NACC) Chendering, Kuala Terengganu hari ini.

Katanya, Payang Walk merupakan satu produk baru pelancongan di negeri ini kerana ia bakal menempatkan pelbagai aktiviti di pentas kebudayaan seperti mak yong, rodat, wayang kulit dan sebagainya turut diadakan jualan barangan kraf, kuih muih, laman seni , kios minuman dan river cruise.

“Saya yakin jika semua perancangan ini menjadi kenyataan, tiada lagi rungutan dari pelancong luar yang menginap di bandaraya ini, kerana tiada tempat bagi mereka menikmati aktiviti pada waktu malam di sini,” katanya.

Katanya, mengikut perancangan asal Payang Walk akan beroperasi pada Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula jam enam petang hingga 12 malam di mana pelancong boleh menikmati keindahan bandaraya dengan menaiki River Cruise menyusur sungai pada waktu malam.

“Bila naik ke darat, mereka boleh menjamu selera dengan memilih apa saja juadah rakyat tempatan yang disediakan di gerai-gerai jualan serta kios minuman di kawasan persekitaran.

Sehubungan itu, sempena TMT sebanyak 33 acara utama dan sampingan yang dirancang oleh Sektariat TMT dalam Kalendar Pelancongan Negeri dan mensasarkan empat juta pelancong asing dan domestik akan datang ke negeri ini.