Halaman

05 September 2012

PMINT rai tetamu istimewa

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Saban tahun mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) tidak pernah melupakan golongan kurang bernasib baik untuk bersama-sama memeriah dan meraikannya.


Pengurus Besar PMINT, Dato' Haji Osman Muda menyampaikan duit raya dan hamper kepada warga emas.

Pada majlis kali ini, seramai 150 tetamu istimewa iaitu 100 anak-anak yatim dan 50 warga emas dijemput khas bagi menerima sumbangan duit raya dan hamper.

Mereka kelihatan berselera menikmati pelbagai juadah, termasuk nasi dagang, nasi minyak, tapai, lemang, ketupat, rendang, asam gumpal dan pelbagai jenis kek serta biskut raya.

Anak yatim dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Nilam, Syed Zikri Hakim Syed Ahmad, berkata dia dan kawan lain seronok datang ke majlis raya ini kerana bukan saja dapat makan pelbagai juadah malah dapat duit raya.

“Juadah paling suka adalah ais krim dan spegeti kerana jarang ditemui pada majlis raya orang lain,”katanya.

Murid Tahun Empat, SK Losong, Siti Hajar Qistina Harun, berkata terima kasih kerana sudi jemput dan bagi duit raya kepada kami.

“Saya akan minta ibu simpan duit ini dalam bank, tidak mahu buat belanja kerana sayang,” katanya.

Nur Asyira Azman, murid Tahun Empat, berkata duit raya yang dapati ini, akan disimpan bersama-sama duit lain yang sudah dikumpul sebelum ini.



“Saya harap tahun depan, dapat lagi datang ke majlis seumpama ini, kerana sangat seronok jumpa kawan sekolah lain dan dapat makan macam-macam makanan dalam dewan besar,” katanya.

Warga emas, Hajah Siti Azizah Said, 60, berkata dia tidak sangka turut dijemput untuk bersama-sama rakan sekampung lain datang ke majlis raya ini.

“Datang sini, bukan saja dapat layanan istimewa dan makan pelbagai juadah malah dapat pula hamper yang ada macam-macam barangan dapur,” katanya.