Halaman

05 September 2012

Pejabat Mara sementara di TTC

Oleh: Aida Abd Rahman
Susulan insiden kebakaran bangunan Mara pada 1 September lalu, Pejabat Mara Negeri Terengganu kini beroperasi sementara di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) bermula 3 September lalu.

Pengarahnya, Encik Abdullah Muhamad, menjelaskan pejabat transit Mara di TTC yang dijangka akan beroperasi selama sebulan boleh dikunjungi mana-mana usahawan atau orang ramai yang mempunyai urusan dengan Mara dalam tempoh terdekat ini.

“Walaupun ditimpa musibah, tetapi kita tetap beroperasi seberapa segera kerana banyak permohonan dan urusan yang perlu diselesaikan, apatah lagi membabitkan pinjaman pelajaran dan usahawan.

“Pada masa sama, kita juga membuat pengubahsuaian di bangunan KWSP, yang mana akan menyewa sementara. Kita harapkan akan dapat masuk segera ke tempat baru apabila siap pengubahsuaian.

“Cuma untuk sementara waktu ini, mana-mana pelajar atau usahawan yang ingin berurusan dengan Mara, boleh datang ke TTC dan berjumpa pegawai berkaitan. Kita juga akan memasang kain rentang bagi memudahkan orang ramai mengetahui perpindahan sementara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Himpunan Aidilfitri Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) di TTC, Kuala Terengganu, semalam (4 September).

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik.

Dalam kejadian pada 1 September lalu, Pejabat Mara Negeri yang terletak berdekatan Taman Syahbandar, Kuala Terengganu terbakar yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM2.5 juta.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.25 pagi dan dalam kejadian itu, tingkat atas bangunan yang berusia 40 tahun itu hangus dijilat api, dipercayai merebak daripada sebuah rumah kedai terbiar yang terletak bersebelahan bangunan itu.

Encik Abdullah berkata, bangunan tersebut menempatkan Pejabat Mara Negeri dan Pejabat Mara Daerah Kuala Terengganu.