Halaman

14 September 2012

Pakatan pembangkang tidak berupaya wujud keharmonian dalam negara

Oleh; Esah Abdullah

Sebagai ahli masyarakat yang sayang dan cintakan negara wajar mempertahankan keamanan negara dari digugat oleh anasir yang cuba merosakkan kestabilan dan perpaduan demi masa depan generasi akan datang.

Pengerusi Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia (KUPKKM) Terengganu, Dato’ Haji Muhatar Abdullah berkata, pakatan pembangkang (PAS,PKR,DAP) mempunyai dasar dan agenda yang jauh berbeza.

“Kita sangat yakin sekiranya mereka berkuasa, tidak akan berupaya mewujudkan keharmonian dan kestabilan di negara ini,” katanya di majlis sambutan Hari Raya Pesara Kanan Kerajaan Malaysia Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Hadir sama, Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Noorbahari Baharuddin; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A. Rahman Mokhtar dan Ahli Jawatankuasa Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia (KUPKKM) Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Katanya, ini berdasarkan pengalaman lalu ketika berada di bawah pentadbiran kerajaan Pas, pihak pentadbiran terpaksa berdepan dengan kegelisahan dan rasa tidak puas hati rakyat akibat dasar yang tidak cekap dan tidak jelas serta tidak disukai oleh sebilangan besar rakyat.

“Kita ingin melihat pasca Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti akan wujud sebuah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lebih kuat dan berpengalaman,” katanya yang juga mantan Setiausaha Kerajaan Terengganu.


Katanya, hanya BN sahaja di negara ini yang berpengalaman dan mempunyai perancangan masa depan yang jelas dan jitu serta berupaya memajukan nasib masa depan bangsa, agama dan negara.

“Saya harap tidak ada yang tergoda dan termakan dakyah parti pembangkang sebaliknya berilah kepercayaan kepada perjuangan BN untuk meneruskan kesinambungan memerintah negara dan negeri,” katanya yang secara terang mengaku baru boleh membuka mulut setelah bergelar pesara daripada penjawat awam.

Katanya, bilangan pesara berjumlah 25,000 orang diseluruh negeri dan jumlah ini tidak termasuk suami atau isteri serta anak-anak mereka yang layak mengundi.

“Dengan jumlah yang ramai, tidak mustahil golongan pesara boleh menjadi penentu kepada kemenangan BN dalam PRU nanti,” katanya disambut tepukan gemuruh para hadirin termasuk Menteri Besar.